MOHD Asri (kanan) melihat koleksi Suzuki Katana yang diletakkan di hadapan kedainya.
Zairee Mohd Yasak


Alor Gajah: Memiliki sembilan unit Suzuki Katana pelbagai model dianggarkan bernilai lebih RM500,000 menjadi kebanggaan pemburu jentera retro yang juga mekanik motosikal, Mohd Asri Ramli, 44.

Dia yang terkenal dengan panggilan Arie Retro berkata, harga bagi setiap model Suzuki Katana dihentikan pengeluarannya itu melambung dan mencecah sehingga RM60,000 setiap sebuah.

Katanya, reka bentuk motosikal itu yang ‘jahat’ dan masih relevan untuk digayakan pada masa sekarang menyebabkan dia jatuh hati dan sanggup mengeluarkan belanja besar bagi mengumpul semua variasi dikeluarkan Suzuki.

“Pada tahun 90-an, ramai penunggang motosikal berkuasa tinggi memilih model Cagiva atau Aprilia namun saya pula sebaliknya dengan meminati variasi Suzuki Katana yang dianggap memiliki keistimewaan sendiri.

“Akhirnya pada 2007, saya membeli Suzuki Katana pertama dan terus mengumpul variasi lain. Sekarang saya berasa puas setiap kali melihat deretan Suzuki Katana 250cc, 400cc, 650cc, 750cc dan 1,100cc diatur di depan kedai,” katanya ketika ditemui di kedai menjual aksesori motosikal diusahakannya di Masjid Tanah, di sini, semalam.

Menurutnya, dia kerap didatangi peminat jentera retro yangberminat membeli Suzuki Katana miliknya pada harga dianggap lebih daripada berbaloi namun menolaknya tawaran itu kerana amat menyayangi koleksi peribadinya.

Baginya, setiap jentera itu mempunyai nilai sentimental tinggi bagi dirinya sepanjang 25 tahun bergelar mekanik motosikal, selain menghargai Suzuki Katana.

Selain motosikal, Mohd Asrim juga memiliki pelbagai lagi aksesori jentera dua roda seperti jaket, sut perlumbaan keluaran 1996 dan topi keledar yang harganya mencapai RM10,000 setiap satu.

“Saya tidak pernah berhenti mengumpul barangan berkenaan, semua ini untuk tatapan generasi akan datang, saya mahu berkongsi minat mengenai jentera roda dua dengan mereka.

“Antara koleksi yang saya anggap amat berharga ialah seunit basikal lama yang pernah digunakan Pos Malaya, usaha ini saya akan teruskan dan saya juga bercadang membuka galeri khas,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 January 2018 @ 8:19 AM