Anggota polis melakukan siasatan di lokasi suspek rompakan kedai emas maut ditembak polis di Cheras, malam tadi. - Foto HAFIZ SOHAIMI
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


SUSPEK kes samun kedai emas ditembak mati dalam operasi Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (STAFOC) Bukit Aman bersama Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) D9 Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di Jalan Sarjana, Taman Connaught, Cheras, malam tadi.

Menurut sumber, dalam kejadian kira-kira 10.30 malam itu, suspek yang memiliki beberapa rekod jenayah lampau membabitkan kes samun kedai emas, berada dalam keadaan mencurigakan dalam sebuah kereta Perodua Myvi di lokasi kejadian.

Menurutnya, apabila suspek diarah berhenti bagi pemeriksaan, lelaki berusia 20-an itu enggan bekerjasama.

“Suspek sebaliknya menembak ke arah polis dari dalam kenderaannya.

“Bagi mempertahankan diri, anggota polis membalas tembakan suspek,” katanya.

Menurutnya, pemeriksaan dalam kereta itu kemudiannya mendapati ada seorang lelaki mati akibat terkena tembakan.

“Siasatan awal mendapati suspek tersenarai dalam rekod dikehendaki polis bagi beberapa kesalahan, termasuk memiliki senjata api dan cubaan samun.

“Polis turut menemui sepucuk pistol dalam kenderaan itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 January 2018 @ 12:44 AM