LORI yang ditahan melalui pemeriksaan berat muatan. FOTO Aswadi Alias
Kalidevi Mogan Kumarappa

Kajang : Langsung tidak hormat undang-undang. Itu yang dilihat apabila puluhan lori hantu dikesan berkeliaran di atas jalan dengan membawa muatan batu atau pasir berlebihan.

Malah, lebih mengejutkan apabila pemandunya yang ditahan tidak memiliki lesen memandu manakala lori tiada cukai jalan (LKM).

Itu disaksikan wartawan Harian Metro ketika menyertai operasi Op Bersepadu Hippo (Lori) dijalankan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) bersama Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman dan Kuala Lumpur bermula jam 6 pagi semalam.

Operasi disertai lima pegawai dan 50 anggota daripada kedua-dua agensi penguatkuasaan di Lebuhraya Cheras-Kajang di sini.

Ketua Bahagian Penguatkuasaan SPAD Datuk Che Hasni Che Ahmad berkata, operasi berkenaan dilaksanakan bertujuan membanteras kegiatan lori yang membawa muatan berlebihan secara berbahaya selain gagal mematuhi syarat lesen SPAD dan undang- undang jalan raya.

“Dalam operasi kali ini, SPAD mengesan 18 kes membabitkan sembilan kesalahan membawa muatan melebihi had ditetapkan.

“JSPT pula mengesan sembilan kes atas kesalahan membawa muatan berbahaya, lima kerana membawa barang (air meleleh) dan masing– masing satu ke atas pemandu yang tiada lesen memandu dan lori tiada LKM,” katanya.


ANGGOTA polis mengarahkan pemandu keluar dari lori dipandu. FOTO Aswadi Alias

Menurutnya, jumlah muatan paling berat dibawa melebihi 98.33 peratus daripada had ditetapkan.

“Sepanjang tahun ini, lebih 15,000 lori diambil tindakan atas pelbagai kesalahan di seluruh negara.

“Kesalahan membawa muatan lebih dan berbahaya antara kesalahan paling serius dilakukan pengusaha dan pemandu lori,” katanya.

Katanya, meskipun bilangan kes lori membawa muatan lebih berkurang pada tahun lalu iaitu 122 kes berbanding 241 kes tahun 2016 namun tindakan penguatkuasaan dijalankan SPAD secara bersepadu bersama agensi penguatkuasaan lain bagi memastikan pemandu lori lebih bertanggungjawab di atas jalan.

Menurutnya, siasatan dibuat mengikut Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010 kerana membawa muatan berlebihan, membawa muatan secara berbahaya dan muatan melebihi had panel.

Katanya, jika sabit kesalahan mereka boleh didenda tidak kurang RM100,000 atau tidak melebihi RM500,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 January 2018 @ 7:40 AM