MAHATHIR (depan, dua kiri) dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali (kiri) bersama Mohamad Sabu (tiga kanan), Muhyiddin (dua kanan) dan Guan Eng (kiri) hadir pada Konvensyen Pakatan Harapan. FOTO Aizuddin Saad
Iskandar Shah Mohamed
iskandar@hmetro.com.my


PAKATAN Harapan (PH) hari ini mengumumkan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon Perdana Menteri sekiranya gabungan pembangkang itu menerima mandat rakyat bagi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU 14) nanti.

Jika 'kerajaan' itu dibentuk, calon jawatan Timbalan Perdana Menteri akan disandang oleh Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Mengumumkan perkara itu, Ketua Setiausaha PH, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, blok pembangkang turut akan memulakan proses undang-undang untuk mendapatkan Pengampunan Diraja bagi membebaskan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya Anwar dapat segera berperanan dalam Kerajaan Persekutuan.

“Kemudiannya, Anwar akan diangkat sebagai calon Perdana Menteri kelapan," katanya pada

Konvensyen PH 2018 di Shah Alam, hari ini.

Hadir sama, Wan Azizah yang juga Presiden PH; Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yasin; Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden AMANAH Mohamad Sabu.

Pengumuman itu sekali gus menguatkan kenyataan Dr Mahathir yang membayangkan satu daripada tiga kawasan Parlimen yang bakal ditandingi beliau pada PRU 14 itu ketika Perhimpunan Agung Tahunan PPBM di lokasi sama pada pada 30 Disember lalu.

Ia membabitkan sama ada Parlimen Langkawi dan Kubang Pasu di Kedah serta Putrajaya.

Dalam pada itu, Saiffudin berkata, PH turut mengumumkan 165 kerusi bakal ditandingi empat parti pembangkang berkenaan kelak.

"Ia merangkumi 52 kerusi PPBM, 51 kerusi PKR, 35 kerusi DAP dan 27 kerusi AMANAH.

"Persetujuan itu diperoleh melalui Perjanjian Muafakat PH yang dipersetujui pemimpin utama keempat-empat parti pada 6 Januari 2018 (semalam)," katanya.

Pada konvensyen kali kedua yang disertai ratusan perwakilan blok pembangkang itu, Kit Penerangan, Tabung dan Jentera Pilihan Raya PH turut dilancarkan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 January 2018 @ 5:30 PM