Hazira Ahmad Zaidi


MUHAMAD Nabiq Haikal Norazli, 9, yang menghidap Cerebal Palsy (CP), paru-paru kronik dan komplikasi jantung meninggal dunia di HUSM Kubang Kerian, 4.30 pagi, hari ini.

Kanak-kanak itu menghembuskan nafas terakhir di sisi ibu bapanya, Shamsila Muhammad, 47, dan Norazli Mohd Arshad, 50, selepas sembilan hari dirawat di hospital berkenaan.

Shamsila berkata, anak bongsu itu dimasukkan ke wad, 30 Disember lalu selepas mengalami muntah darah, namun kelihatan sihat dan ceria selepas rawatan.

“Malangnya, malam kelmarin, Abiq (nama panggilan) mula muntah darah lagi sehingga ia keluar dari hidungnya juga.

“Paling menyentuh hati saya, dia tidak mahu tidur di atas katil, sebaliknya sentiasa mahu dipangku sehinggalah akhir hayatnya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Shamsila berkata, jenazah anaknya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kecil, Kampung Panchor Gunung, Bachok, selepas solat Asar.

Metro Ahad semalam melaporkan kisah Muhamad Nabiq Haikal disahkan menghidap CP selain menderita penyakit paru-paru kronik serta komplikasi jantung ketika berusia dua bulan.

Akibat penyakitnya itu, dia lebih banyak meluangkan masa di hospital berbanding di rumah, malah berat badannya hanya 5.25 kilogram (kg).

Berita berkaitan:

Saat jantung Abiq terhenti

Tidak ku pinta dilahirkan begini [MetroTV]

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 January 2018 @ 10:47 AM