Datuk Seri Abu Hassan Din Al-Hafiz dilarang memberi ceramah di Johor. FOTO arkib NSTP
Mazizul Dani
mazizul@hmetro.com.my


“SAYA tidak berkecil hati, cuma terkilan, tetapi akan patuh kepada arahan berkenaan.”

Demikian kata penceramah terkenal, Datuk Seri Abu Hassan Din Al-Hafiz, 71, selepas dilarang memberi ceramah di Johor.

Beliau berkata, larangan itu bagaimanapun kurang jelas kerana tidak dihubungi mana-mana pihak mengenainya.

“Saya hanya tahu dilarang memberi ceramah ketika berada di Muar, Johor, Sabtu lalu apabila diberitahu ahli jawatankuasa masjid yang menjemput saya.

“Selain dua tempat di Muar, saya turut dijemput memberi ceramah di dua lokasi di Pontian, pun sama juga, saya dilarang.

“Saya terkilan sedikit saja kerana sepatutnya beri saya sebab apa kesalahan dan kesilapan saya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Difahamkan, penceramah itu dilarang memberi ceramah di Johor kerana tidak mengikuti garis panduan yang ditetapkan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ).

Abu Hassan berkata, susulan larangan itu beliau terpaksa membatalkan empat sesi ceramah di Johor yang sepatutnya dijadualkan dari Sabtu sehingga malam esok.

“Setakat ini saya tiada perancangan untuk menghubungi pihak sana. Orang tak bagi ceramah, saya baliklah.

“Sekarang saya di Melaka, ada dua tempat lagi saya dijemput untuk memberi ceramah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 January 2018 @ 6:14 PM