AZREL Ismail. FOTO Aziah Azmee
Syafil Syazwan Jefri

[email protected].

Masuk ke tahun keempat bergelar pelakon, Azrel Ismail lebih selektif dalam pemilihan watak yang ditawarkan kepadanya.

Azrel berkata, dia bukannya cerewet, tetapi kini perlu lebih meneliti skrip berbanding dulu apabila hanya terima apa saja tawaran.

Yang pasti, dia inginkan kepuasan di samping tidak mahu melakukan sesuatu di luar kemampuannya.

“Sebagai pelakon, saya juga ada had dalam melakonkan sesuatu watak. Tak semua mampu dilakonkan dengan baik dan saya tahu tahap kemampuan diri.

“Jadi, saya ukur baju di badan sendiri dan terima tawaran yang saya rasa mampu saja. Kalau terima juga yang saya tak mampu, nanti akan menyusahkan banyak pihak,” katanya.

Selain itu, Azrel juga meneliti beberapa hal lain antaranya syarikat produksi, pengarah, jalan cerita dan pelakon lain yang terbabit.

Menyusun sendiri jadualnya tanpa pengurus sejak empat tahun lalu menjadikan Azrel matang dan arif dalam menguruskan jadual.

Selepas tempoh itu, dia memilih menjadikan jadualnya tidak terlalu sesak dengan kerja, sebaliknya memberikan ruang untuk dirinya berehat.

“Sebagai pelakon, kesihatan perkara utama kerana kebanyakan set penggambaran adalah di luar (outdoor).

“Rehat secukupnya sangat penting bagi memastikan tahap kesihatan berada dalam keadaan baik. Apabila sihat, kita mampu memberikan lakonan terbaik,” katanya.

Menurutnya, pada awal kemunculannya, dia terlalu bekerja keras sehingga mengabaikan kesihatan.

“Awal-awal dulu, seperti yang dikongsikan, saya terima apa saja tawaran dan kerana itu, jadual jadi sangat padat sehingga tiada masa untuk berehat.

“Kini saya masih bekerja keras seperti biasa, namun dalam seminggu tetapkan satu atau dua hari sebagai hari berehat,” katanya.

Ditanya sama ada dia akan menggunakan khidmat pengurus bagi menguruskan kerjayanya selepas ini, Azrel berkata, buat masa ini dia selesa menguruskan sendiri.

“Untuk masa depan, saya tak pasti. Mungkin saya akan ambil pengurus sekiranya ada kerja berkaitan duta produk dan sebagainya,” katanya.

Jadual 2018 padat penggambaran

Tahun 2018 akan menyaksikan jadualnya padat dengan kerja lakonan.

Namun, Azrel tidak pernah meletakkan sebarang sasaran, sebaliknya melakukan kerjanya seperti biasa mengikut rancangan.

“Rancangan dan sasaran adalah sesuatu yang berbeza. Saya lebih kepada merancang dan tidak menyasarkan apa-apa. Kalau tak menjadi, saya akan bawa ke tahun seterusnya.

“Terbaru, saya sedang menjalani penggambaran drama bersiri berjudul Dia Pengantinku sebanyak 26 episod. Antara pelakon lain yang terbabit adalah Saharul Ridzwan dan Mawar Rashid.

“Mulai 1 Februari pula, saya akan mula menjalani penggambaran drama bersiri Cik Sempurna untuk slot Dahlia TV3,” katanya.

Selain itu, dia juga menantikan kehadiran beberapa drama lakonannya yang sudah siap menjalani penggambaran tahun lalu.

“Antara drama lakonan saya yang akan ditayangkan tahun ini ialah Cinta Koko Coklat sebanyak 50 episod di TV3.

“Selain itu, satu lagi drama lakonan saya ialah La Luna yang penggambarannya dijalankan di Bosnia-Herzegovina tahun lalu. Drama 13 episod itu akan ditayangkan di TV1,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 January 2018 @ 2:51 AM