Siti Fatimah Nasir

Kuala Lumpur: Golongan peniaga mendakwa kekurangan bekalan di pasaran berikutan faktor cuaca tidak menentu menyebabkan harga durian kegilaan ramai Musang King (D197) masih mahal.

Tinjauan Harian Metro di sekitar Lembah Klang mendapati, durian Musang King dijual pada harga RM50 hingga RM70 sekilogram bergantung kepada gred, D101 dan D24 mencecah RM25 hingga RM35 sekilogram, D2 (RM20 hingga RM30), manakala durian kampung sekitar RM15 hingga RM25.

Peniaga, Salleh Ahmad, 37, berkata, faktor cuaca yang tidak menentu kini menyebabkan bekalan durian kurang, namun permintaan terhadapnya tinggi menyebabkan ramai peniaga menaikkan harga durian.

“Walaupun harga durian Musang King kini mahal, saya tetap menjual pada harga mampu milik iaitu sekitar RM20 hingga RM40 sekilogram bergantung kepada gred.

“Semalam, saya jual durian Musang King di sekitar Uptown Shah Alam dan dalam masa satu jam saja, durian saya habis dijual dengan keuntungan mencecah RM700 hingga RM1,000 sehari,” katany, semalam.

SALLEH menunjukkan durian kampung yang dijual. FOTO NSTP

Katanya, walaupun berlaku kenaikan harga, permintaan terhadap durian masih memberangsangkan terutama durian Musang King.

“Musang King kini dijual sedikit mahal kerana kebanyakan durian dieksport ke China dan Singapura.

“Walaupun musim durian akan berlanjutan hingga Mac ini, pengeluarannya belum menyeluruh kerana bukan semua kawasan pengeluar durian menuai hasil serentak apatah lagi kebanyakan durian kali ini tidak begitu menjadi disebabkan banyak yang gugur terlalu awal akibat cuaca yang tidak begitu baik,” katanya.

Sementara itu, tinjauan di beberapa gerai lain di sekitar ibu negara mendapati, harga durian tidak menentu apabila ada penjual menjual D24 antara RM25 hingga RM35, D2 (RM25-RM30), X0 (RM30-RM38), durian tembaga (RM30), durian udang merah (RM30), durian kampung (RM16-RM20) serta Musang King (RM40-RM90) mengikut gred.

Bagi peniaga durian di Pasar Chow Kit, Zulkarnain Mansor, 56, disebabkan kegilaan orang ramai terhadap durian Musang King, dia membuat keputusan mengambil bekalan durian daripada pemborong di Raub, Pahang hingga mencecah 50 bakul dalam sehari.

ZULKARNAIN menyusun durian di gerainya. FOTO NSTP

“Harga durian memang akan berubah mengikut musim, lebih-lebih lagi jika bekalan durian kurang.

“Namun saya lihat, pengguna masih tetap membelinya walaupun ketika mahal apatah lagi ketika musim murah,” katanya yang mengambil durian di Raub, Pahang dan Johor.

Seorang lagi peniaga durian di sekitar Jalan Pasar Baharu, Pudu, Mizan Zubaidi, 49, berkata, pendapatan harian tidak menentu berikutan kurang bekalan durian di pasaran kini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 January 2018 @ 5:56 AM