Keadaan Muhammad Aisy Zafran yang amat memerlukan sumbangan orang ramai. (Gambar kanan) Zainal Azman.
Hayati Ibrahim


BAYI lelaki berusia tujuh bulan Muhammad Aisy Zafran Zainal Azman yang menderita penyakit kegagalan hati (Biliary Atresia) memerlukan bantuan orang ramai untuk menampung kos pembedahan yang mencecah RM250,000.

Bapanya Zainal Azman Mazlan, 35, berkata, anak bongsu dari tiga beradik itu dilahirkan secara normal pada 18 Mei tahun lalu dan dikesan menghidap penyakit itu ketika berusia 32 hari.

"Pada awalnya, anak saya hanya menghidap demam kuning seperti kebanyakan bayi baru lahir, tetapi hasil keputusan ultrasound doktor mengesahkan hati dan limpa Muhammad Aisy Zafran bengkak, selain perutnya membuncit akibat kegagalan hati berfungsi secara normal.

"Sehubungan itu, doktor menasihatkan supaya anak saya menjalani pembedahan pemindahan hati di Hospital Renji di Shanghai, China secepat mungkin dalam tempoh enam bulan dari sekarang," katanya di Putrajaya, hari ini.

Zainal Azman yang bekerja sebagai pembantu teknikal berkata, Muhammad Aisy Zafran yang menerima rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dinasihatkan untuk menjalani pembedahan segera dengan kos dianggarkan mencecah RM250,000.

Katanya, pemindahan hati itu perlu dilakukan di China kerana hospital berkenaan mempunyai kepakaran, selain faktor berat badan dan bayinya yang masih kecil.

"Anak saya sudah menjalani pembedahan Kasai sebelum ini bagi membolehkan hempedunya mengalir dari hati terus ke usus.

"Bagaimanapun, keadaannya tidak berubah dan perutnya masih membuncit, selain kulitnya menjadi pucat kekuningan.

"Sebagai ayah, saya mahu yang terbaik untuk Muhammad Aisy Zafran dan melihat dia kembali sihat dan membesar seperti kanak-kanak lain," katanya.

Menurutnya, kos ubat-ubatan bayinya kini mencecah RM1,500 hingga RM2,000 setiap hari.

Zainal Azman berkata, dia dan isteri, Nurul Aini Sulaiman, 35, sudah membuat ujian darah untuk melihat sama ada mereka sesuai menjadi penderma hati kepada bayi lelakinya itu.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menyalurkannya menerusi akaun Maybank 512017516106 atas nama Zainal Alam atau menghubunginya di talian 019-242 4800.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 January 2018 @ 4:42 PM