Ahli keluarga terdekat dan saudara mara menghadiri pengebumian Che Limah yang dikebumikan bersebelahan pusara anaknya di Tanah Perkuburan Kampung Keranji selepas kedua-duanya meninggal dunia tidak sampai 24 jam. FOTO Syamsi Suhaimi
Hazira Ahmad Zaidi
am@hmetro.com.my


SEORANG lelaki di Kampung Bechah Keranji, Peringat, Kota Bharu pernah berseloroh dengan rakannya bahawa akan sentiasa bersama ibunya termasuk mahu meninggal dunia bersama-sama.

Seloroh itu menjadi kenyataan apabila dia dijemput Ilahi pada 7.30 malam semalam, manakala ibunya menghembuskan nafas terakhir kira-kira 16 jam kemudian.

Ahmad Che Soh, 48, meninggal dunia di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu akibat angin ahmar dan ibunya, Che Limah Che Mat Amin, 93, akibat sakit tua pada 10.50 pagi tadi.

Kematian mereka yang berselang beberapa jam itu turut mengejutkan keluarga dan penduduk kampung selain penggali kubur.

Penggali kubur itu, Abdullah Ismail, 77, berkata, dia mula menggali kubur Ahmad pada 8 pagi tadi dan siap pada 10.30 pagi dibantu dua rakan yang lain.

“Tidak sampai sejam kami berehat, orang kampung meminta kami menggali kubur di sebelah arwah (Ahmad) buat ibunya pula.

“Sepanjang yang menggali kubur, jarang keadaan ini berlaku. Saya anggap hubungan anak beranak itu istimewa kerana arwah Ahmad sendiri dikenali sebagai anak yang baik dan akrab dengan ibunya,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Jenazah kedua-duanya dikebumikan Tanah Perkuburan Pagar Kulim Bechah Mulong, Melor.

Sementara itu, isteri Ahmad, Wan Sepinah Wan Hasan, 54, berkata, arwah suaminya adalah anak tunggal dan taat serta sangat menyayangi ibu mentuanya.

Katanya, pada Jumaat lalu, Ahmad jatuh dan diserang angin ahmar sebelum dirawat di HRPZ II.

“Keadaannya agak serius sehingga dia menghembuskan nafas terakhir malam tadi (semalam). Namun, yang mengejutkan saya apabila ibu mentua turut ‘mengikutnya’ ke alam sana.

“Mereka memang akrab, dan tidak pernah berenggang. Malah, suami pernah berseloroh dengan rakannya takkan berpisah dengan ibunya, malah mati juga mahu bersama.

“Saya reda kehilangan kedua-duanya serentak,” katanya ketika ditemui di rumahnya di rumahnya di Kampung Bechah Keranji, Peringat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 January 2018 @ 9:12 PM