RONO (kanan). FOTO Owee Ah Chun
Mohd Khairie Khalid

Kuala Lumpur: Walaupun kontraknya tidak disambung, jurulatih Kenya, Samuel Rono tidak melenting sebaliknya tetap berpuas hati dengan pencapaiannya ketika membimbing skuad olahraga negara.

Rono yang pernah membantu atlet Kenya, Noah Ngeny meraih emas dalam acara 1,500 meter (m) pada Sukan Olimpik 2000 dan Benjamin Limo (5,000m) Kejohanan Dunia 2005, memulakan tugas bersama skuad negara pada Mac 2016 sebelum kontraknya berakhir 31 Disember lalu.

“Saya gembira kerana sudah melakukan kerja dengan baik dan membantu atlet memenangi beberapa pingat di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017),” kata Rono ketika dihubungi menerusi aplikasi WhatsApp.


PENGURUS pasukan olahraga Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, Datuk Salim Parlan (empat kanan) dan Rono (lima kanan) bersama atlet selepas sesi latihan di MSN. FOTO Owee Ah Chun

Mengulas lanjut, Rono menyerahkan kepada Majlis Sukan Negara (MSN) dan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) sama ada mahu mendapatkan khidmatnya kembali.

“Terpulang kepada mereka, saya sedia untuk kembali,” kata Rono.

Selain Rono, khidmat pengendali berpengalaman, Hamberi Mahat juga tidak disambung dan berakhir 31 Disember lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 January 2018 @ 3:55 AM