ZAINI memeluk Abdul Razak yang menghidap penyakit bengkak hati. FOTO Azhar Ramli
Dziyaul Afnan Abdul Rahman

Ayer Hitam: Jika kanak-kanak seusianya gembira bermain dengan ibu bapa mereka, namun bagi Abdul Razak Al Siddiq, 3, dia hanya mampu terbaring selain minta didukung oleh bapanya jika mahu bermanja.

Disahkan menghidap penyakit bengkak hati pada usia dua hari, sejak itu Abdul Razak dijaga rapi oleh ibu dan bapanya, Roslan Hamzah, 51, dan Zaini Che Ross, 41.

Menurut Zaini, anak bongsunya disahkan menghidap penyakit itu selepas bacaan demam kuningnya tinggi sehingga memerlukan rawatan rapi oleh pihak hospital.

Katanya, kesihatan anaknya menjadi lebih teruk jika demam kerana perutnya menjadi keras dan menyakitkan.

“Sejak doktor mengesahkan Abdul Razak menghidap penyakit bengkak hati, suami berhenti kerja sebagai pengawal keselamatan untuk menjaganya.

“Pada awalnya, suami bercadang bercuti sementara waktu saja, namun siapa sangka anak menjadi rapat dengannya sehingga tidak boleh berpisah,” katanya ditemui di rumahnya di Kampung Sanglang, Ayer Hitam, Kedah di sini, semalam.

Zaini berkata, malang bertimpa apabila Abdul Razak cedera dan tidak boleh berjalan akibat kemalangan pada Disember 2016 ketika mengikut dia dan suami menaiki motosikal ke kedai runcit berdekatan rumah mereka.

Katanya, dia kini memikul tanggungjawab untuk menyara keluarga dengan bekerja sebagai pengawal keselamatan secara sambilan.

ABDUL Razak menghidap penyakit bengkak hati. FOTO Azhar Ramli

“Saya hanya bekerja jika ada pengawal keselamatan bercuti dan gaji dikira mengikut hari dan tidak tetap.

“Ada kala dapat RM1,600 dan ada masa kurang RM1,000, ditambah pula kini saya dalam proses diberhentikan kerja kerana syarikat lebih mengutamakan pengawal keselamatan lelaki berbanding wanita,” katanya.

Menurut Zaini, setiap bulan dia perlu membelanjakan RM700 ke RM800 untuk rawatan anaknya.

“Doktor ada menyarankan supaya Abdul Razak menjalani pembedahan hati di Hospital Selayang, Selangor dengan kos RM40,000 selain perlu menyewa di sana selama dua tahun untuk proses pemantauan.

“Kami tiada wang sebanyak itu ditambah pula tiada jaminan untuk proses pembedahan itu berjaya dan terbaru kami disarankan menjalani rawatan di China dengan kos RM200,000 termasuk kos sepanjang di sana,” katanya.

Tiada apa diharapkan Zaini dan suaminya selain memberikan keselesaan pada anak bongsunya.

“Kami tidak menolak jika ada pihak ingin membantu kos pembedahan Abdul Razak dan berdoa agar dia sembuh.

“Terima kasih juga kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Lembaga Zakat Kedah kerana memberikan bantuan bulanan, sekurang-kurangnya meringankan beban membeli ubat-ubatan anak dan membayar sewa rumah,” katanya.

Mereka yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Simpanan Nasional atas nama Abdul Razak Al Siddiq dan Zaini Che Ross di akaun 02134-41-00009052-6.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 January 2018 @ 5:34 AM