Siti Nor Hidayatidayu Razali


GELAGATNYA bercakap dalam bahasa Inggeris bukan sahaja menarik perhatian pengunjung Pasar Tani Kota Jembal, Kedai Lalat, Kota Bharu, malah mencuit hati sesiapa sahaja yang melihatnya.

Fasih bertutur dalam bahasa Inggeris memberi kelebihan kepada warga emas itu apabila ramai pelanggan datang ke gerainya yang menjual kain batik sarung.

Peniaga berkenaan, Rafeah Jaafar, 67, yang menjalankan perniagaan lebih 20 tahun berkata, dia mempelajari bahasa Inggeris sejak di sekolah menengah.

Katanya, ia hasil percampuran dengan pelajar kaum lain dan juga minatnya terhadap bahasa lain.


RAFEAH Jaafar, 67 yang bercakap dalam bahasa Inggeris sambil menjual kain sarung di Pasar Tani Kota Jembal, Kedai Lalat. FOTO Zaman Huri Isa

"Saya juga berkawan dengan pelbagai kaum untuk meningkatkan tahap penguasaan dalam bahasa termasuk ketika berurusan dengan pelanggan.

"Bagi menarik pelanggan, saya akan bercakap dalam bahasa Inggeris dan mereka berminat untuk mendengar serta turut bertutur dengan saya," katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.

Ibu kepada tiga anak yang berusia antara 23 hingga 35 tahun ini berkata, dia yang tinggal di Kampung Kedai Baru, di sini, akan memandu kereta sejauh lima kilometer dan berniaga setiap Jumaat dengan bantuan sepupunya, Rozita Omar, 37.

Wanita berkenaan yang juga ibu tunggal berkata, dia berniaga secara suka-suka kerana terlalu minat dalam bidang itu.

Terdahulu, video berdurasi satu minit 28 saat yang melihatkan wanita itu bercakap dalam bahasa Inggeris ketika melayan pelanggan tular di Facebook dan WhatsApp sejak beberapa hari lalu.

"Alhamdulillah sejak video yang diambil seorang pelanggan tular di Facebook, ramai yang mencari mak cik termasuk untuk membeli kain.

"Mungkin itu rezeki mak cik dan pada masa yang sama dapat meningkatkan jualan kain batik sarung yang dijual," katanya.

Menurutnya, selain fasih bertutur dalam bahasa Inggeris, dia juga boleh bercakap dalam bahasa Hokkien.

Katanya, dia minat mempelajari pelbagai bahasa apabila akan bertanya kepada pelancong atau sesiapa sahaja jika mahu mengetahui maksud sesuatu perkataan.

"Ketika di Makkah, mak cik selalu bertanya kepada orang Arab berhubung sesuatu perkataan ketika mahu membeli barang.

"Dengan cara itu, kita dapat mempelajari dan menguasai bahasa lain supaya tidak terus ketinggalan," katanya.

Rafeah berkata, dia juga menggalakkan golongan muda supaya berniaga kerana pendapatan dalam bidang itu di luar jangkaan jika berusaha bersungguh-sungguh.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 January 2018 @ 5:16 PM
GELAGAT peniaga warga emas, Rafeah Jaafar, 67 yang bercakap dalam bahasa Inggeris sambil menjual kain sarung bukan sahaja menarik perhatian pengunjung Pasar Tani Kota Jembal, Kedai Lalat, malah mencuit hati sesiapa sahaja yang melihatnya. FOTO Zaman Huri Isa