KERATAN akhbar (kiri) menunjukkan Ismail ketika menerima hadiah Proton Saga dan arwah ketika mengikuti kursus haji tahun lalu. FOTO Omar Osman
Omar Osman
am@hmetro.com.my


PENCIPTA nama kereta nasional pertama negara 'Proton Saga', Staf Sarjan (B) Ismail Jaafar meninggal dunia akibat sakit tua di rumahnya di Taman Nuri, Sungai Petani, semalam.

Ismail, 71, yang pernah dikenali sebagai 'Staf Sarjan Proton' ketika berkhidmat di Markas Dua Divisyen, Pulau Pinang meninggal dunia 3.10 petang selepas 51 hari terlantar sakit di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH).

Anaknya, Mohd Sarisffuddin Ismail berkata, arwah ayahnya dimasukan ke HSAH selepas pulang mengerjakan ibadah haji November tahun lalu akibat menghidap sakit jantung, kencing manis dan asma.

Katanya, selepas 51 hari dirawat di hospital, arwah bapanya dibenarkan keluar pada Khamis, namun keadaan kesihatannya kembali teruk semalam.

"Emak, Sariah Abdul Rahman, 69, serta adik berada di sisi arwah hinggalah selepas Jumaat keadaan ayah bertambah tenat dan 3.10 petang ayah pergi meninggalkan kami semua.

"Kami sekeluarga reda dengan kehendak Allah... arwah ayah sakit sudah lama lebih lapan tahun lalu, malah ketika mengerjakan ibadah haji tahun lalu arwah dimasukkan ke hospital di Makkah.

"Saya sekeluarga bersyukur kerana arwah ayah dapat menunaikan segala kewajipannya. Dia seorang ayah yang bertanggungjawab, baik dan sukar dicari ganti," katanya ditemui di rumahnya, malam tadi.

Jenazah Ismail dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Amanjaya, Sungai Petani kira-kira 10 malam tadi.

Menurut Sarisffuddin, arwah bapanya pernah menyatakan hasrat supaya dia dan adik-beradik lain mencari semula kereta Proton Saga yang diterima sebagai hadiah ketika menang sebagai pencipta nama Proton Saga pada 1985.

"Itu saja hasrat arwah yang tidak tertunai, saya difahamkan kereta itu dijual kerana ketika itu arwah memerlukan wang untuk membiayai kos dua adik melanjutkan pelajaran ke universiti.

"Saya dan adik mencari kereta itu dan dipercayai berada sekitar Pendang," katanya.

Ismail menamatkan perkhidmatan dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada 1987 selepas 18 tahun berkhidmat.

Mengikut rekod arwah diumumkan sebagai pemenang pencipta nama kereta nasional pertama pada 1985 mengatasi ribuan penyertaan lain sekali gus menerima hadiah kereta Proton Saga 1.3.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 January 2018 @ 12:20 PM