Iskandar Shah Mohamed


“Kita akan mengambil tindakan terhadap tiga penguat kuasa berkenaan dengan tidak membenarkan mereka bertugas di lapangan.

"Siasatan dalaman akan dilakukan dalam masa terdekat,” kata Pengarah Jabatan Perancangan Pembangunan Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS), Mohamad Yusli Askandar berhubung rakaman video insiden anggota penguat kuasanya didakwa menterbalikkan dulang ikan di Pasar Basah Pasir Penambang, Kuala Selangor, Sabtu lalu.

Rakaman berdurasi 1 minit 31 saat itu memaparkan berlaku perselisihan faham dan seperti pertengkaran mulut antara tiga anggota penguat kuasa MDKS dengan peniaga selepas dulang berisi ikan terbalik.

Seorang daripada anggota penguat kuasa itu turut dilihat mengambil gambar selepas kejadian berkenaan.

Menurutnya, MDKS kesal dengan tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang sengaja menyebarkan

rakaman video itu.

Katanya, kejadian kira-kira 10.30 pagi itu berlaku akibat perselisihan faham antara anggota penguat kuasa dengan peniaga ikan berkenaan.

"Ketika kejadian, penguat kuasa itu menjalankan rondaan berkala di pasar berkenaan sebelum mendapati ada halangan di laluan awam.

"Semakan mendapati dua amaran dikeluarkan kepada peniaga itu sebelum ini dan anggota penguat kuasa berkenaan mengarahkan supaya halangan berkenaan segera dialihkan.

“Berlaku sedikit perselisihan faham apabila penguat kuasa MDKS membantu peniaga terbabit mengalihkan halangan itu (dulang ikan) menyebabkan ia terjatuh ke lantai," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, pihaknya berharap peniaga bekerjasama dengan mematuhi setiap arahan dikeluarkan.

Katanya, MDKS sudah bertemu peniaga itu yang turut mengakui kesalahan dilakukannya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 January 2018 @ 10:51 PM
Petikan rakaman video yang tular di media sosial. IHSAN PEMBACA (FB ANDY LOVE NITTY)