Farid Kamil disambung reman untuk siasatan kes dadah.
Iskandar Shah Mohamed
iskandar@hmetro.com.my


PIX Faiz Anuar

TEMPOH reman ke atas pelakon dan pengarah filem, Datuk Farid Kamil Zahari, 37, akan dilanjutkan bagi membantu siasatan polis berkaitan kes narkotik.

Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor berkata, reman berkaitan kes jenayah membabitkan tindakan menampar seorang anggota polis trafik dan menendang dua orang awam berakhir hari ini.

"Namun, kita akan melanjutkan tempoh reman ke atas Farid menerusi kebenaran mahkamah bagi membantu kes narkotik.

"Bagi kes jenayah terdahulu mengikut Seksyen 323 dan Seksyen 353 Kanun Keseksaan serta Seksyen 90 Akta Polis, ia dianggap sudah selesai," katanya pada sidang media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Selangor di Ibu Pejabat Polis Kontinjen negeri di Shah Alam, pagi ini.

Kata Mazlan, pihaknya sudah merujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dan akan mendakwa Farid di mahkamah kelak.

"Kami sudah bersedia untuk pertuduhan itu (kes jenayah) dan jika ada elemen narkotik, dia turut akan dituduh atas kesalahan berkenaan," katanya.

Semalam, Mahkamah Petaling Jaya membenarkan tempoh reman ke atas pelakon itu dilanjutkan selama sehari lagi bagi membantu siasatan.

Dalam kejadian jam 1.20 tengah hari Khamis minggu lalu, pelakon itu dilaporkan ke Balai Polis Kota Damansara untuk membuat laporan berkaitan kemalangan jalan raya.

Ketika berurusan di kaunter, Farid secara tiba-tiba dikatakan menampar muka petugas polis lelaki berusia 24 tahun yang menerima aduan itu, disaksikan beberapa anggota lain dan orang awam.

Pelakon itu juga dipercayai menendang dua orang awam di tempat sama.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 January 2018 @ 11:01 AM