Farid Kamil tampak ceria ketika beredar dari perkarangan mahkamah. FOTO Eizairi Shamsudin.
Sarah Zulkifli dan Sudirman Mohd Tahir


“SAYA ingin jumpa anak-anak. Saya sangat rindukan mereka.” Itu jawapan spontan pengarah dan pelakon, Datuk Farid Kamil, 37, sebaik saja dibebaskan dengan jaminan RM12,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, petang tadi.

Apabila ditanya lebih lanjut bila akan berjumpa dua anaknya, Muhammad, 5, dan Nur Aurora, 3, pelakon Tombiruo: Penunggu Rimba itu mengatakan akan mengaturkannya nanti.

“Kita akan aturkan pertemuan,” jawabnya ringkas ketika berjalan keluar dari Kompleks Mahkamah Petaling Jaya.

Farid tampak ceria dan lebih bersemangat berbanding ketika ditahan polis pada Khamis lalu.

Sebaik melangkah keluar, terdengar sorakan dan tepuk tangan daripada rakan dan peminat yang hadir memberi sokongan berhubung kes dihadapi Farid.

Farid juga bersyukur kepada Tuhan dan berterima kasih kepada semua yang memberi sokongan kepadanya.

Katanya, apa yang berlaku terhadap dirinya adalah ujian diberikan Allah sebagai warna dalam kehidupannya.

“Alhamdulillah syukur kepada Allah yang memberikan jalan cerita dalam hidup saya. Semakin lama, semakin menarik perjalanan hidup yang diatur oleh-Nya untuk saya,” katanya.

Suami pelakon Datin Diana Danielle itu kemudian beredar dari perkarangan mahkamah bersama adiknya, Fadzil Zahari menaiki Toyota Vellfire.

Diana turut hadir memakai baju kurung dan berada di galeri awam mahkamah tetapi enggan mengulas lanjut dengan mengambil pendekatan berdiam diri ketika diajukan soalan oleh media.

Terdahulu, Farid Kamil didakwa atas empat pertuduhan iaitu dua tuduhan menyebabkan kecederaan, selebihnya berkelakuan tidak senonoh dan mengganggu penjawat awam di Balai Polis Kota Damansara, minggu lalu.

Farid ditahan reman selama lima hari bermula Jumaat lalu dan berakhir hari ini, bagi membantu sisatan.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Fazeedah Faik manakala tertuduh diwakili peguam, Athari Bahardin.

Majistret Nor Ariffin Hisham kemudian membenarkan ikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin bagi keempat-empat pertuduhan. Farid dibebaskan dengan jaminan polis bagi kes narkotik.

Mahkamah menetapkan 5 Mac ini sebagai sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 January 2018 @ 6:17 PM