AFIFAH Nasir. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor
Sudirman Mohd Tahir
sudirman@hmetro.com.my

Tahun lalu nama pelakon Afifah Nasir, 25, antara yang hangat diperkatakan berikutan dakwaan menjalin hubungan dengan pelakon Aliff Aziz.

Insiden mereka ‘kantoi’ di pusat karaoke mencetuskan pelbagai spekulasi sehingga terjadinya pergelutan antara Aliff dan isterinya, Bella Astilah.

Apa yang pasti, nama Afifah tercalar sehingga dia dilemparkan pelbagai tuduhan. Tidak kurang juga yang menganggap Afifah sengaja mencipta kontroversi semata-mata untuk dikenali.

Bagi Afifah, perkara yang berlaku adalah ranjau berduri untuknya yang akhirnya membuatkan dia sedar supaya lebih berhati-hati dalam setiap langkah.

Malah, tahun 2018 ini Afifah nekad untuk tidak lagi terkait dengan gosip dan kontroversi sebaliknya fokus kepada kerjaya seni.

“Saya tak nak lagi ada gosip yang bukan-bukan. Apa yang berlaku saya anggap pengajaran untuk diri sendiri. Malah, ia mengajar saya supaya lebih berhati-hati dalam setiap langkah. Jangan terlalu mudah percaya dan beri muka kepada seseorang.

“Kakak saya, Anzalna yang terbabit dalam bidang lakonan juga menasihati perkara sama. Kalau boleh mereka tak nak saya tersilap langkah lagi. Biarlah tahun ini dilalui dengan perkara yang indah saja. Terima kasih kepada keluarga yang banyak memberikan sokongan,” katanya.

Bagaimanapun, Afifah yang juga pelakon drama Izinkan Aku Mencintaimu bersama Aliff mengakui tahun lalu turut meninggalkan memori manis untuknya.

Afifah juga menafikan dia hilang ‘job’ dan kurang tawaran berlakon ekoran kontroversi yang menghambat dirinya.

“Alhamdulillah, selepas kes berkenaan saya masih dapat tawaran berlakon. Saya anggap ia rezeki dan memori manis untuk saya. Orang yang kenal dan tahu saya macam mana, mereka masih percayakan saya. Disebabkan itu, mereka masih tawarkan saya berlakon.

“Namun, saya tak boleh halang mereka yang beranggapan sebaliknya. Bagi saya, ia persepsi masing-masing. Dalam perkara ini, saya tak boleh puaskan hati semua pihak,” katanya.

Ditanya mengenai hubungan dengan kekasihnya, Wan Ariff Azhar, 25, Afifah yang kini muncul dalam drama Syurga Yang Kedua berkata, hubungan mereka masih baik dan dalam perancangan untuk berkahwin.

“Perancangan berkahwin memang ada, tetapi buat masa sekarang belum ada sebarang tarikh ditetapkan. Dalam perkara ini, kami hanya mampu merancang, Allah yang menentukan.

“Lagipun, soal jodoh kita tidak tahu apa yang bakal berlaku. Jadi, kami hanya ikut aturan ditetapkan. Saya bertuah apabila Ariff sentiasa ada bersama, dalam keadaan saya susah atau pun senang,” katanya.


AFIFAH Nasir. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor

Mahu mengacara dan menyanyi

Berkongsi mengenai kerjaya seninya, selain berlakon Afifah juga ingin mengembangkan bakat dalam bidang nyanyian dan pengacaraan.

Afifah berkata, dia sudah mendapat tawaran untuk merealisasikan kedua-dua cabang seni itu.

“Kalau nak tahu, saya memang minat menyanyi sejak dulu, cuma rezeki saya dalam bidang lakonan. Jadi, saya buat apa yang ada dulu. Namun, minat terhadap nyanyian tak pernah padam.

“Sepatutnya, tahun lalu saya merakamkan lagu hasil ciptaan Yasin Sulaiman, namun disebabkan kekangan masa dan beberapa masalah lain, saya tangguhkan dulu. Lagipun, saya belum ada keyakinan diri untuk merakamkan lagu sendiri,” katanya yang sukakan genre lagu R&B dan balada.

Berkongsi perkara itu, Afifah berkata, komposer dan penyanyi lagu Mimpi Laila itu menawarkannya merakamkan lagu ketika dia menjayakan penggambaran video muzik Dialah.

“Ketika di lokasi penggambaran, saya ada menyanyi secara suka-suka. Tidak sangka pula yang Abang Yasin terdengar. Dia terus menawarkan saya merakamkan lagu. “Insya-Allah, saya cuba untuk mengumpul keyakinan diri. Pada masa sama, sehingga sekarang saya tak terfikir untuk memiliki lagu sendiri,” katanya.

Dalam bidang pengacaraan pula, Afifah akui dia lebih suka mengacarakan program berbentuk kecantikan.

“Baru-baru ini saya mendapat tawaran mengacara sebuah program kecantikan yang disiarkan di YouTube. Namun, jadual kerja saya bertembung dengan tarikh penggambaran mereka. Jadi, saya terpaksa tolak cara baik.

“Namun, mereka tetap inginkan saya menjayakan program mereka pada musim akan datang. Saya sangat hargai dan berterima kasih kerana sudi memberi peluang. Insya-Allah, kalau ada tawaran lain saya nak cuba juga.

“Cuma, mak saya berpesan kalau boleh bukan program lasak. Dia takut membahayakan keselamatan saya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 January 2018 @ 2:48 AM