ANGGOTA bomba berjaya mengeluarkan mata gerudi yang tertusuk pada jari. Gambar kecil, keadaan jari mangsa yang tertusuk pada mata gerudi. FOTO Ihsan JBPM
ANGGOTA bomba berjaya mengeluarkan mata gerudi yang tertusuk pada jari. Gambar kecil, keadaan jari mangsa yang tertusuk pada mata gerudi. FOTO Ihsan JBPM
Nur Izzati Mohamad

Nibong Tebal: Seorang lelaki terpaksa menanggung kesakitan hampir satu jam apabila ibu jari tangan kirinya tertusuk pada mata gerudi ketika mengendalikan mesin di sebuah kilang dekat Sungai Baong di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 8 pagi, mangsa seorang lelaki warga Bangladesh berusia dalam lingkungan 30-an dibawa ke Hospital Sungai Bakap (HSB) untuk rawatan.

Bagaimanapun, petugas perubatan hospital berdepan kesukaran mengeluarkan mata gerudi berkenaan lalu menghubungi bomba untuk bantuan.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 9.14 pagi dan mengambil masa 10 minit ke hospital berkenaan.

“Kami menggunakan peralatan khas bagi mengeluarkan mata gerudi yang tersepit pada jari mangsa.

“Operasi khidmat khas itu tamat selepas anggota mengambil masa hampir satu jam bagi mengeluarkan mata gerudi berkenaan dari ibu jari kiri mangsa,” katanya.

Difahamkan, pekerja terbabit berada dalam keadaan stabil dan menerima rawatan sebagai pesakit luar.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 January 2018 @ 5:12 AM