ZIZAN. FOTO Mahzir Mat Isa
ZIZAN. FOTO Mahzir Mat Isa
Georgie Joseph


Sejak kebelakangan ini, pelawak, pelakon dan pengacara, Zizan Razak, 33, seakan-akan tidak aktif lagi dalam bidang komedi. Hakikatnya, dia mula mencipta nama menerusi bidang itu dan berjaya mengukuhkan kariernya sehingga kini.

Tidak dinafikan, dia menjadi antara pelawak yang sentiasa menjadi rebutan, namun pada masa sama ramai juga pelawak lain muncul. Ia sekali gus menjadikan lapangan komedi lebih banyak saingan.

Bagaimanapun, Zizan mengakui dia tiada sebab tergugat dengan kehadiran pelawak lain. Baginya, setiap pelawak pasti ada kekuatan sendiri dan dia mahu fokus kepada lebih banyak perkara lain dalam industri.

“Saya bukannya beralah dan mahu memberi laluan kepada mereka. Sebaliknya saya mahu perlahankan sementara bidang komedi disebabkan mahu fokus kepada cabaran baru dalam kerjaya seni.

“Saya tidak lihat kehadiran mereka sebagai persaingan kerana masing-masing ada rezeki sendiri. Lagipun, seseorang pelawak itu pastinya memiliki peminat tersendiri yang sentiasa menyokong karier mereka,” katanya.

Apa yang pasti, Zizan menanam azam untuk lebih fokus kepada filem pada tahun ini. Baginya, dia mendapat kepuasan yang berbeza setiap kali menjayakan mana-mana naskhah membabitkan filem.

Disebabkan itu, seboleh-bolehnya dia mahu berikan sepenuh tenaganya kepada penggambaran sepanjang tahun ini. Lagipun, menurutnya, jadual untuk tahun ini saja sudah hampir penuh.

“Boleh dikatakan jadual saya untuk tahun ini memang sudah agak penuh. Saya juga ke Indonesia tahun lalu untuk perbincangan mengenai filem di sana.

“Saya memang mahu fokuskan kepada filem sekarang ini yang lebih banyak cabarannya. Lagipun, hasil pencapaian daripada filem sangat memuaskan apalagi Abang Long Fadil 2 sendiri mencipta rekod tersendiri.

“Filem akan dikenang sampai bila-bila, begitu juga dengan lakonan yang meninggalkan impak sendiri. Itulah yang saya mahu capai dalam karier saya agar boleh dikenang seperti Allahyarham Tan Sri P Ramlee,” katanya.

Sempena tahun baru ini, Zizan juga tidak mahu terlalu memikirkan soal menamatkan zaman bujang. Hakikatnya, ia belum menjadi agenda utamanya mahupun meletakkannya sebagai azam tahun ini.

Bagaimanapun, dia tidak menolak jodoh jika benar ‘serunya’ sampai pada tahun ini. Impian untuk berkeluarga sendiri memang ada.

Disebabkan itu, dia hanya mahu menyerahkannya kepada Tuhan.

“Niat itu memang ada, insya-Allah, kalau ada rezeki tetapi jodoh itu saya tidak tahu. Kedengaran memang klise tetapi saya minta semua doakan saja yang terbaik,” katanya.

Zizan sebelum ini dikaitkan dengan aktres Mira Filzah namun kedua-dua selebriti terkenal itu memberitahu hubungan mereka sekadar kawan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 January 2018 @ 2:52 AM