ABDUL Halim (kanan) bersama Umar Haneef Suharpi (kiri) berswafoto selepas menerima sijil keputusan mereka. FOTO Mohd Adam Arinin
Norasikin Daineh


“SEBULAN sebelum peperiksaan, saya dan beberapa rakan bermalam di dalam kelas untuk sama-sama mengulangkaji pelajaran,” kata Abdul Halim Taslim, 19, yang mendapat keputusan cemerlang peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2017.

Pelajar Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN) Toh Puan Hajjah Rahmah, Kinarut, papar itu, mendapat enam pangkat Mumtaz (cemerlang) dan empat Jayyid Jiddan (sangat baik), bagi 10 mata pelajaran.

Katanya, idea untuk bermalam dalam kelas itu tercetus selepas dia lebih gemar belajar di dalam kelas berbanding di luar waktu sekolah ataupun di asrama.

"Saya bersama beberapa rakan bermalam di kelas kerana mahu fokus dalam pelajaran. Saya tidak mahu terlalu selesa ketika di asrama sehingga menyebabkan saya leka dan akhirnya terlajak tidur.

"Di kelas, saya bersama lima hingga 10 rakan tidur di atas lantai dalam keadaan sejuk. Jadi, sudah pasti tidak dapat tidur dengan nyenyak seperti tidur di atas tilam di asrama.

"Jadi... saya ambil 'kekurangan' ini sebagai peluang untuk bangun mengerjakan solat sunat dan Subuh berjemaah dengan rakan sebelum kami sama-sama mengulang kaji pelajaran," katanya.

Menurut anak pertama daripada lima beradik ini yang berasal dari Putatan itu, usahanya itu membuahkan hasil apabila dia mendapat keputusan yang cemerlang dalam STAM kali ini.

"Saya bersyukur kerana berkat usaha dan doa daripada ibu bapa, guru serta rakan semua akhirnya mendapat keputusan yang cemerlang.

"Saya merancang melanjutkan pengajian di peringkat universiti di Mesir atau Madinah dalam bidang agama," katanya yang bercita-cita mahu menjadi pensyarah.


ABDUL Halim Taslim (kiri) bersama Umar Haneef Suharpi (kanan) serta Umairah Abdul Wahab menunjukkan sijil keputusan di Sekolah Menengah Agama Negeri Toh Puan Hajah Rahmah, Kinarut. FOTO Mohd Adam Arinin

Sementara itu, Pengetua SMAN Toh Puan Hajjah Rahmah, Aisah Kassan berkata, inisiatif memberi kelonggaran kepada pelajar lelaki bermalam di dalam kelas untuk mengulang kaji pelajaran adalah hasil perbincangan daripada semua pihak.

"Kita memahami ada pelajar yang selesa belajar bersendirian dan ada yang mahu belajar secara berkumpulan di tempat lain, selain asrama. Jadi kita raikan cara mereka dengan mengambil pendekatan ini.

"Kita buat perbincangan dengan semua pihak sebelum memberikan kebenaran.

"Pelajar juga dipantau oleh warden serta pengawal keselamatan setiap masa.

"Alhamdulillah... mereka mendapat keputusan yang cemerlang bagi tahun ini," katanya.

Daripada 61 pelajar sekolah itu yang menduduki STAM tahun lalu, tujuh daripada mereka mendapat pangkat Mumtaz, 12 Jayyid Jidan, 17 Jayyid (baik) dan lima Maqbul (lulus).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 January 2018 @ 5:28 PM