LELAKI maut, manakala lapan yang lain cedera selepas tujuh kenderaan terbabit kemalangan di Lebuhraya Utara-Selatan dekat Kulai. FOTO ihsan Pembaca
Mohd Sabran Md Sani


LELAKI maut, manakala lapan yang lain cedera selepas tujuh kenderaan terbabit kemalangan di Kilometer 41.3 Lebuhraya Utara Selatan, arah selatan, dekat Kulai, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kulai Superintendan Dzulkhairi Mukhtar berkata, kejadian 12.50 tengah malam itu mengakibatkan mangsa, Haziq Arshad, 25, maut ketika dalam perjalanan ke Hospital Kulai.

Menurutnya, kemalangan itu mengakibatkan dua kanak-kanak cedera termasuk seorang daripadanya dikenali sebagai Alishah Norpipah Abd Rahman, 3, patah paha dan dirawat di Hospital Sultanah Aminah (HSA).

"Seorang lagi kanak-kanak lelaki dikenali sebagai Imran Syah dan belum diketahui usianya hanya cedera ringan," katanya.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila sebuah treler gagal berhenti selepas sebuah kereta berhenti akibat pemeriksaan polis di kawasan berkenaan.

"Akibat rempuhan itu, kereta berkenaan terperosok di bawah treler berkenaan sebelum kenderaan berat itu melanggar dua kenderan pelbagai guna (MPV) lain.

"Ia menyebabkan kedua-dua mangsa yang berada dalam kenderaan masing-masing cedera manakala kenderaan dinaiki mangsa yang maut berganjak ke depan dan terlanggar belakang kenderaan pacuan empat roda sebelum MPV berkenaan melanggar sedikit belakang lori," katanya.

Menurutnya, dalam kejadian itu mangsa yang juga penumpang kereta meninggal dunia dalam perjalanan untuk mendapatkan rawatan di Hospital Kulai.

Katanya, lapan mangsa lain cedera dengan seorang pemandu serta seorang penumpang kereta parah.

Dzulkhairi berkata, keadaan jalan adalah dua hala dengan dua lorong setiap arah dan kemalangan berlaku di lorong kiri dan kanan jalan dengan keadaan cuaca baik, selain keadaan jalan sedikit licin.

"Punca kemalangan dipercayai tidak membabitkan pengaruh alkohol atau dadah, selain tiada sebarang halangan di atas jalan raya.

"Waris dalam kejadian itu sedia maklum berkenaan kes kemalangan dan daftar mayat di Unit Kecemasan Hospital Kulai dan bedah siasat dilakukan pagi ini," katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 January 2018 @ 6:48 PM