Sudirman Mohd Tahir


DALAM keadaan dirinya yang sarat mengandung, penyanyi Datuk Seri Siti Nurhaliza, 39, tetap kuat membantu peminat dengan melancarkan Tabung Kebajikan SitiZoner.

Tabung itu dilancarkan secara rasmi sempena sambutan ulang tahun ke-14 kelab peminat Siti Nurhaliza itu petang tadi, khusus untuk ahli yang ditimpa musibah.

Kata Siti, tabung itu diwujudkan atas inisiatif dirinya kerana menganggap ahli kelab peminat seperti ahli keluarga sendiri.

“Ada ahli ditimpa musibah, penyakit, kemalangan dan memang memerlukan bantuan. Jadi, tabung ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban mereka.

“Sebahagian sumbangan yang dibuat hari ini datang daripada yuran penyertaan sempena sambutan ulang tahun SitiZoner. Mereka tidak tahu pun yang yuran berkenaan turut disalurkan kepada yang memerlukan,” katanya kepada Harian Metro.


RAKAMAN kejadian yang tular di media sosial. FOTO Ihsan Pembaca

Pada majlis yang dihadiri lebih 300 peminat itu, empat ahli SitiZoner menerima sumbangan peribadi daripada Siti dan tabung berkenaan.

Antara yang menerima sumbangan, Irham Hafidz, Allahyarham Darjadi Duprayitno Dapat (Indonesia) yang baru sahaja meninggal dunia, Shaihanim Shariff dan Zarina Omar (Singapura).

“Sumbangan ini sudah dibuat lama dan dikendalikan oleh Kak Rozi di laman rasmi kelab peminat. Cuma, belum dilancarkan secara rasmi.

“Saya berharap bantuan ini berterusan pada masa akan datang. Kiranya, ia terbuka dan tidak ada jangka masa tertentu. Mana-mana ahli yang ingin terus menghulurkann bantuan pun, tak ada masalah.

“Jadi, pada acara seterusnya, kita akan berikan lagi kepada yang memerlukan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 January 2018 @ 6:52 PM