ANGGOTA Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) menunjukkan sarang lebah yang berjaya dimusnahkan di Kampung Tambun, Kota Marudu.
Recqueal Raimi


Kota Marudu: Pengawal keselamatan yang baru pulang dari kerja panik seketika apabila dia disambut oleh sekawan lebah yang berlegar-legar di ruang tamu rumahnya di Kampung Tambun di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 10.30 pagi itu, Sukri Andas, 35, terpaksa merangkak di lantai rumah untuk mengelak daripada disengat serangga berkenaan.

Lelaki itu kemudian keluar dari rumahnya sebelum menghubungi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) meminta bantuan.

Sukri berkata, pada mulanya, dia mahu berehat di ruang tamu kerana kepenatan selepas bekerja.

Sebaik menghidupkan suis kipas siling, tiba-tiba lebah keluar dari lubang di dinding rumahnya.

“Saya terkejut dan terus merangkak keluar dari rumah,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, semalam.

Menurutnya, sebelum kejadian, dia langsung tidak menyedari lebah itu ada membuat sarang di dalam lubang pada lapisan dinding papan rumahnya.

“Rupa-rupanya, serangga ini sudah lama bersarang dalam lubang berkenaan,” katanya.

Sukri berkata, dia kemudian menghubungi APM untuk meminta bantuan.

Sementara itu, Pegawai APM Unit Kota Marudu Norman Bigol berkata, sebaik menerima panggilan kecemasan, empat anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.

Beliau berkata, pemeriksaan mendapati sarang lebah berukuran tiga meter di dalam bahagian dinding papan di dalam rumah berkenaan.

“Anggota APM terpaksa membuka lapisan dinding papan sebelum memusnahkan sarang serangga itu menggunakan penyembur api,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya mengambil masa sejam untuk memusnahkan sarang serangga berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 January 2018 @ 11:42 AM