Gambar tular lelaki mencabul kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun di kawasan 'Fun Fair'di Taman Ria, Sungai Petani.


POLIS memburu seorang lelaki selepas mencabul kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun di kawasan 'Fun Fair' di Taman Ria, Sungai Petani Sabtu lalu sehingga tular di media sosial sejak semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Saifi Abdul Hamid berkata, susulan video yang tular di media sosial, pihaknya menerima dua laporan polis yang dibuat seorang pegawai polis dan ibu mangsa sendiri.

Menurutnya, ibu mangsa terbabit memberitahu, suspek yang juga rakannya datang ke rumah mangsa di Sungai Lalang, Sungai Petani 11 malam Sabtu lalu sebelum meminta kebenaran membawa kanak-kanak itu keluar untuk membeli makanan di Taman Bandar Baru.

"Mangsa hanya dihantar pulang ke rumahnya oleh suspek jam 1 pagi sebelum dia beredar.

"Bagaimanapun ibu mangsa yang turut melihat video tular itu kemudian bertanya kepada suspek mengenai perkara itu selepas lelaki itu datang semula ke rumahnya 11.30 malam semalam," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Saifi berkata, suspek kemudian mengaku dan memohon maaf kepada ibu mangsa sebelum terus beredar.

"Ibu mangsa sudah membuat laporan polis 2.52 pagi ini dan mangsa sudah dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk pemeriksaan.

"Polis sedang mengesan suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 January 2018 @ 2:56 PM