SHARUL Kamal. FOTO Blackpepperproduction
SHARUL Kamal. FOTO Blackpepperproduction
Najiy Jefri

Andai hidup adalah percaturan, dia bagaikan menaiki roller coaster.

Ketika menyusuri landasan yang penuh mencabar, roller coaster terus mencari haluan penuh liku hingga ke penamatnya.

Kehidupan yang payah, duka yang sarat dan luka yang mencalar tidak mungkin menjadikan dia mudah mengalah.

Roller coaster ini tetap laju walaupun dengan muatan berat serta tentangan angin menderu.

Jika cerita ini boleh dikaitkan dengan manusia, barangkali penyanyi Sharul Kamal, 21, adalah salah satu daripada roller coaster yang terus bertahan itu.

Hari ini bintang Akademi Fantasia 2015 (AF) itu mahu menjadi seorang lelaki yang jauh lebih matang, membulatkan tekad dan bijak mengatur masa depan.

Jika semalam mencatatkan sejarah paling hitam, hari ini dia mahu mengorak langkah dan menuai benih cinta dalam lapangan seni tanah air.

Sharul ketika ditemui mengakui pernah mengalami kemurungan dan hidup tertekan selepas setiap langkahnya gagal. Dia berasakan dirinya seperti terpinggir dalam dunia nyanyian.

Sharul atau nama sebenarnya Muhammad Sharul Amin Kamarozaman mendedahkan, tahun lalu adalah paling mengecewakannya.

Ia tidak mahu diulang kerana dalam tempoh itu kehidupannya tidak terurus dan sering mengasingkan diri berikutan terlalu kecewa dengan nasibnya.

“Hampir tiga bulan saya terperuk dalam bilik dan menangis. Saya tiada kekuatan untuk berjumpa orang kerana sering diperli disebabkan tiada tawaran nyanyian. Kehadiran saya juga masih belum menonjol sedangkan saya hadir daripada sebuah program realiti popular.

“Saya jadi makin serabut dan berat badan turun mendadak mengenangkan nasib yang tiada sinar ketika itu. Saya jadi murung dan pelbagai persoalan muncul. Kenapa semua orang termasuk industri muzik sendiri seakan-akan tidak menerima saya?” katanya.

Penyanyi ini mengakui, terlalu banyak cabaran yang perlu ditempuh apabila bergelar selebriti.

Walaupun pernah putus asa dan terdetik hasrat untuk meninggalkan kerjaya nyanyian, namun apabila memikirkan kembali sokongan ibu bapa, Sharul kembali optimis meneruskan kerjaya itu.

“Keluarga saya sangat menyokong apa saja saya lakukan. Mereka sanggup membantu jika saya menghadapi masalah kewangan. Mendengar kata-kata selain melihat wajah mereka, terus saya tersedar. Saya fikir bodoh jika cepat mengalah.

“Tambahan pula saya teringat saat saya bersusah payah menyertai uji bakat AF. Bagaimana bersemangatnya saya mahu menyertai pertandingan nyanyian itu.

“Mulai saat itu, saya terus bangkit dan enggan mempedulikan kata-kata orang. Saya kena keluar dari persembunyian dan tidak musnahkan impian ini,” katanya.

SHARUL Kamal. FOTO Blackpepperproduction
SHARUL Kamal. FOTO Blackpepperproduction

Racun Rindu permulaan baik buat Sharul

Siapa sangka, tahun 2018 mencatat permulaan baik buat jejaka kelahiran Port Dickson, Negeri Sembilan ini.

Apa tidaknya, single terbarunya berjudul Racun Rindu ciptaan Aepul Roza pantas merajai halwa telinga peminat seni tanah air apabila berjaya mencatat 200,000 tontonan di laman YouTube sejak empat bulan lalu.

“Alhamdulillah saya lihat ia permulaan yang baik tahun ini. Banyak tawaran dan berita baik diterima. Racun Rindu kini dimainkan di beberapa stesen radio popular dan khalayak mula mengenali siapa Sharul Kamal.

“Tahun ini, saya mahu menjenamakan semula nama saya dengan lebih kukuh. Saya faham jika ingin berjaya pasti ada penghalang, namun saya harap tahun ini membawa tuah kepada diri saya,” katanya.

Menurut Sharul, dia juga ingin berterima kasih kepada Aepul Roza yang mempercayai bakat yang masih baru ini.

“Dia antara pemuzik yang melihat dan yakin dengan bakat suara saya. Katanya, saya mampu pergi jauh jika pandai menyusun karier seni. Justeru, saya banyak menerima nasihat daripadanya supaya tidak tersilap langkah,” katanya.

Walaupun memiliki paras rupa yang kacak, Sharul tidak pernah menganggap ia sebagai bonus sebaliknya dia mahu dikenali sebagai penyanyi yang berkualiti.

Juga aktif sebagai pelakon dan pengacara

Melihat laluan kerjaya seninya, Sharul sebenarnya boleh dikategorikan sebagai anak seni yang versatile apabila dia kini sudah menceburi beberapa cabang dalam industri iaitu penyanyi, pelakon, pengacara dan pencipta lagu.

“Saya anggap tawaran yang datang adalah rezeki. Saya tidak tahu bidang manakah yang akan membuahkan hasil, namun keutamaan saya tetap bidang nyanyian. Bidang inilah yang memulakan segalanya.

“Saya juga kini sedang menjalani penggambaran telemovie ketiga saya berjudul Esok Untuk Kita bergandingan dengan nama besar seperti Beto Kusairy dan Uqasha Senrose.

“Jujur saya terkejut apabila dapat berdiri sebaris dengan mereka, tapi saya tidak mahu lepaskan peluang ini kerana mungkin saya boleh mengasah bakat lakonan dan menjadi yang terbaik,” katanya yang teruja bergandingan dengan Uqasha.

Dalam perkembangan lain, Sharul bakal bertindak menjadi hos buat pertama kalinya menerusi travelog berjudul Jelajah Backpackers Di Balkan yang bakal bersiaran awal tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 January 2018 @ 3:08 AM