Sudirman Mohd Tahir

Jika kebanyakan artis lain membuat majlis ‘baby shower’ sempena menyambut kelahiran, berbeza dengan Datuk Seri Siti Nurhaliza yang lebih suka mengadakan majlis doa selamat.

Siti, 39, berkata, dia tidak mahu terlalu terikut-ikut dengan orang lain kerana apa yang menjadi keutamaan adalah kesihatan bayi dalam kandungan yang dijangka dilahirkan Mac ini.

“Suami mahu mengadakan doa selamat. Kami tidak buat secara besar-besaran sebaliknya tertutup membabitkan keluarga saja. Cuma, kami panggil anak tahfiz dan jemaah masjid.

“Majlis ‘baby shower’ ini atas pilihan masing-masing, cuma saya tidak mahu terikut-ikut. Ada atau tidak, saya okey saja,” katanya.

Siti yang bakal melahirkan anak perempuan berkata, berat bayi dalam kandungannya kini 1.6 kilogram dan sangat aktif.

Siti yang kini membuat pemeriksaan kesihatan setiap dua minggu juga teruja melihat perkembangan bayi dikandungnya itu.


WALAUPUN berdebar, tetap teruja mahu lalui pengalaman bersalin. FOTO Mohd Khairul Helmy Mohd Din

“Pada peringkat awal kehamilan, rasa lambat lagi. Namun, masuk lima bulan sehingga sekarang, rasa teruja nak bersalin. Pada masa sama, berdebar juga nak melalui proses ini. Suami pula ‘cool’ saja.

“Suami selalu cakap, jangan terlalu teruja. Apa yang penting, bayi yang bakal lahir sihat, sempurna dan jadi anak solehah. Saya sentiasa berdoa semoga segalanya dipermudahkan Allah.

“Macam sekarang, setiap kali buat pemeriksaan, doktor buat imbasan sekali. Jadi, saya memang teruja nak tengok perkembangan bayi. Alhamdulillah, bayi dalam kandungan juga aktif,” katanya.

Menurut Siti, pada usia kandungan sekarang dia mudah semput dan tangan kanannya kerap kebas.

“Orang kata ini perkara biasa berlaku kepada wanita hamil. Selepas bersalin nanti ia akan hilang. Pada masa sama, saya juga perlu selesakan diri setiap kali nak duduk atau baring.

“Dari segi pemakanan pula, semuanya okey berbanding awal kehamilan dulu. Kalau ada yang teringin pun, makanan itu mudah dicari,” katanya.

Banyak dapat hadiah

Siti juga berkata, suaminya mahukan dia memberi susu badan kepada bakal puteri sulung mereka itu.

“Ini pasti menjadi satu lagi pengalaman baru untuk saya. Macam sekarang, saya banyak belajar daripada menantu, Tya. Dia sangat bagus dan berdisiplin dalam perkara ini. Kesungguhan Tya itu buatkan saya lebih bersemangat,” katanya.

Pada masa sama, Siti yang muncul dengan single Comel Pipi Merah iaitu lagu dicipta khas untuk bakal puterinya bersyukur apabila mendapat banyak hadiah daripada peminat.

Malah, Siti juga akui mendapat tawaran menjadi duta bagi beberapa produk bayi.



SITI memotong kek sempena ulang tahun ke-14 Sitizone. FOTO Mohd Khairul Helmy Mohd Din

“Terima kasih kepada peminat yang ambil berat. Boleh dikatakan setiap hari saya menerima kiriman hadiah berupa produk bayi dan produk untuk bertungku.

“Alhamdulillah, ada juga beberapa produk yang menawarkan untuk menjadi duta. Namun, ia masih dalam peringkat perbincangan,” katanya.

Siti ditemui pada majlis sambutan ulang tahun ke-14 kelab peminat, Sitizone, kelmarin.

Acara tahunan bagi meraikan ahli kelab peminat itu dihadiri lebih 300 orang bertemakan warna pastel.

Pada majlis itu, Siti buat pertama kalinya menyanyikan lagu Comel Pipi Merah yang turut menampilkan dua anak saudaranya, Siti Nurun Marsitah Mohd Ghazali, 12, dan Puteri Siti Nurinsyirah Damia Saiful Bahri, 11, untuk mengiringi nyanyiannya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 January 2018 @ 3:37 AM