Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor. FOTO arkib NSTP.
Norizuan Shamsuddin
norizuan@hmetro.com.my


POLIS Selangor menafikan menerima laporan dari pelakon dan pengarah Datuk Farid Kamil Zahari pada hari ini.

Ketua Polis Selangor Datuk Mazlan Mansor berkata, pihaknya tidak menerima sebarang laporan yang dibuat sendiri oleh pelakon berkenaan.

"Tetapi dia (Farid Kamil) ada membuat laporan di Balai Polis Brickfields pada 18 Januari lalu bagi tujuan mengambil barang di rumahnya (di Damansara) saja," katanya pada sidang media majlis pelancaran Kelab Pencegahan Jenayah Kolej Universiti Saito di Dewan Auditorium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, hari ini.

Turut hadir, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din Setiausaha Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Selangor Datuk Mohammad Fuad Talib dan Timbalan Canselor Kolej Universiti Dr Kulandarsamy.

Sementara itu, Mohd Zani turut mengesahkan sehingga kini pihaknya tidak menerima sebarang laporan di buat oleh Farid Kamil di Balai Polis Mutiara Damansara atau mana-mana balai polis di bawah pentadbiran Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya.

Difahamkan laporan berkenaan adalah laporan lama yang dilakukan oleh pelakon berkenaan pada tahun lalu berhubung sebuah syarikat produksi filem.

Laporan berkenaan dilakukan selepas syarikat berkenaan didakwa menggunakan air longkang sewaktu penggambaran dan pihak pelakon terbabit mahu memfailkan saman terhadap syarikat berkenaan.

Sebelum itu, Farid Kamil menerusi laman Instagramnya hari ini memuat naik foto di hadapan Balai Polis Mutiara Damansara sambil memegang satu salinan laporan polis.

Menerusi gambar terbabit dia memuat naik status meminta agar orang ramai mendoakan perjuangannya bagi membela nasib orang yang teraniaya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 January 2018 @ 6:33 PM