Fadzil enggan mengulas mengenai masalah rumahtangga dihadapi abangnya. FOTO Arkib NSTP.
Sudirman Mohd Tahir


LAPORAN polis dibuat pelakon Datuk Farid Kamil pada 18 Januari lalu untuk mengambil barang di rumahnya, menguatkan lagi spekulasi mengenai masalah rumahtangga yang dihadapi dengan isteri, Datin Diana Danielle.

Adik Farid, Fadzil Zahari ketika dihubungi untuk mendapatkan penjelasan mengenai perkara itu, enggan mengulas lanjut.

“Maaf, saya tidak boleh cakap apa-apa buat masa sekarang,” katanya kepada Harian Metro.

Menerusi laporan sebuah akhbar yang memetik sumber mengatakan, dalam laporan itu Farid memohon untuk membenarkan adiknya, Anis Anwar Zahari untuk masuk ke kediamannya di Casa Tropicana, Damansara mengambil barang peribadinya.

Sementara itu Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor mengatakan pihaknya tidak menerima sebarang laporan yang dibuat Farid hari ini berdasarkan gambar yang dimuat naik pelakon dan pengarah itu di laman Instagramnya hari ini.

Bagaimanapun, Mazlan mengatakan Farid ada membuat laporan di Balai Polis Brickfields pada 18 Januari lalu bagi tujuan mengambil barang di rumahnya (di Damansara).

Fadzil juga sebelum ini tidak menolak kemungkinan abangnya mengalami masalah mental atau tekanan perasaan kerana rindukan anaknya, Muhammad, 5, dan Nur Aurora, 3.

Perkara itu diluahkan Farid ketika bertemu Fadzil tiga hari sebelum ditahan kerana menampar petugas di Balai Polis Kota Damansara pada 4 Januari lalu dan direman empat hari bagi membantu siasatan.

Farid mengadu sudah lama tidak berjumpa dengan anaknya tetapi perkara itu dinafikan Diana dan juga ibunya, Norsiah Ramli.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 January 2018 @ 8:01 PM