SITI Safiyah Amirah. FOTO Danial Saad
Fabian Peter

Kuala Lumpur: Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman mungkin kurang menyengat dalam dua kejohanan pertamanya, Kejohanan Antarabangsa AIK dan Terbuka Brunswick Ballmaster tetapi dia tidak terlalu bimbang mengenai prestasinya itu.

Ini kerana pemain bowling kebangsaan itu mempunyai misi lebih penting termasuk Terbuka Wanita AS dan Sukan Asia 2018 di Indonesia.

Siti Safiyah yang muncul pemain bowling wanita terbaik Asia musim lalu ketika dihubungi semalam berkata: “Saya tak fikir prestasi saya buruk dalam dua kejohanan pertama di Eropah. Mungkin saya tidak menukar bola yang betul,” katanya.

“Tambahan lagi, ranking Asia saya tidak terjejas dengan kejohanan di Eropah. Sekarang skuad negara gigih berlatih meningkatkan tahap konsisten dan ketepatan,” katanya.

Pada Kejohanan Antarabangsa AIK di Stockholm, Shalin Zulkifli meraih tempat ketiga sementara pemain nombor dua Asia, Sin Li Jane muncul juara Terbuka Brunswick Ballmaster, trofi ketiganya dalam Jelajah Bowling Eropah (EBT).

Mengenai sasaran peribadi tahun ini, Siti Safiyah berkata: “Masih lagi dalam perbincangan tapi ada antara kami dipelawa beraksi di Terbuka Wanita AS (23-30 Jun) di Orlando, Florida. Saya berharap dapat menyertainya. Sukan Asia pada Ogos misi terbesar skuad kebangsaan tahun ini. Secara peribadi saya sentiasa mahu berada di atas,” katanya.

Selain menduduki ranking pertama Asia, Siti Safiyah juga mencipta sejarah tahun lalu apabila berpasangan dengan Li Jane menjadi pemain Malaysia pertama menjuarai Jelajah PWBA Amerika Syarikat dengan muncul juara Wichita dan Terbuka Lincoln.

Dia juga membantu pasukan wanita Malaysia meraih pingat emas buat kali pertama dalam masa 10 tahun di Kejohanan Dunia di Las Vegas.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 January 2018 @ 2:25 AM