Nur Izzati Mohamad
am@hmetro.com.my


AKIBAT ketagihan dadah dan mengalami tekanan hidup, lelaki berusia 23 tahun tergamak memijak muka dan memukul anak saudaranya berusia dua tahun 11 bulan yang sedang tidur sehingga mangsa mengalami sesak nafas di sebuah flat di Taman Bagan Jaya, Butterworth, malam tadi.

Ibu mangsa yang berada di luar rumah terkejut mendengar tangisan dan jeritan bayi lelaki itu sebelum mendapati adik tirinya sedang memukul dan memijak muka zuriatnya pada 9.15 malam.

Susulan laporan dibuat ibu mangsa, polis menahan lelaki terbabit di tempat kejadian 1.19 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, wanita itu terdengar tangisan anaknya dan terkejut melihat adik tirinya memukul serta memijak badan anak lelakinya yang sedang tidur hingga sesak nafas.

“Wanita itu segera membawa anaknya ke hospital untuk mendapatkan rawatan dan bersyukur anaknya tidak mengalami kecederaan serius.

"Laporan perubatan mendapati mangsa bengkak di muka dan kini dilaporkan stabil," katanya.

Noorzainy berkata, siasatan awal mendapati suspek yang juga penganggur bertindak sedemikian kerana berada dalam ketagihan dadah dan mengalami tekanan hidup.

Beliau berkata, ujian saringan air kencing terhadap suspek mendapati dia positif dadah jenis morfin dan kes disiasat mengikut Seksyen 323/18 Akta Keganasan Rumah Tangga 1994.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 January 2018 @ 3:27 PM