REL yang dibina untuk membawa keluar balak secara haram. FOTO Ekhwan Haque Fazlul Haque
Ekhwan Haque Fazlul Haque
ekhwan@hmetro.com.my

Mukah: Jika dilihat dari mata kasar, tiada siapa menyangka wujud laluan lokomotif rimba digunakan pembalak mengumpulkan khazanah alam semula jadi bernilai jutaan ringgit di hutan Nanga Lemai, Ulu Balingian di sini, sejak beberapa bulan lalu.

Laluan lokomotif dianggarkan sejauh lebih dua kilometer itu dibina menggunakan rel besi merentasi kawasan hutan berbukit dan ia menjadi nadi utama ‘petualang belantara’ kerana lebih menjimatkan berbanding menggunakan lori bagi membawa balak ke pusat pengumpulan.

Balak ditebang itu seterusnya diikat dan disusun di atas gerabak panjang sebelum ditarik menggunakan kepala lokomotif menggunakan enjin diesel dari tapak penebangan terus ke tapak pengumpulan melalui laluan berbukit.

Kebelakangan ini, aktiviti itu terhenti seketika selepas sebahagian besar laluan lokomotif berkenaan ditenggelami air ekoran hujan menjejaskan kawasan rendah selain kepala lokomotif itu sudah disembunyikan pembalak.

Bagaimanapun, tindakan pembalak haram itu berjaya dikesan menerusi Ops Padu oleh sepasukan sepasukan pegawai dan anggota Unit Pembangunan Aplikasi Sistem (SADU) Jabatan Hutan Sarawak (JHS) yang melakukan tinjauan udara, baru-baru ini.


REL yang dibina untuk membawa keluar balak secara haram. FOTO Ekhwan Haque Fazlul Haque

Hasil pemeriksaan lanjut mendapati puluhan balak ditemui di tapak pengumpulan itu ditebang syarikat di luar kawasan dilesenkan JHS menyebabkan kerajaan negeri terlepas cukai yang sepatutnya dibayar, selain ada pihak yang mengaut keuntungan dengan cara mudah.

Antara balak ditemui seperti Meranti, Medang, Benuang, Asam dan Perepok dianggarkan mencecah usia lebih 20 tahun dengan saiz besar dan mencecah harga ribuan ringgit untuk sebatang balak.

Taktik itu dipercayai digunakan sejak beberapa bulan lalu berdasarkan tinjauan udara yang dilakukan JHS memandangkan kawasan dibalak sudah mula ‘terang’ dengan ratusan balak dikumpul di beberapa kawasan untuk diangkut menggunakan lokomotif.

Berdasarkan maklumat risikan JHS, syarikat berkenaan ‘gelap mata’ kerana mahu terus mengaut keuntungan jutaan ringgit memandangkan balak di kawasan yang dibenarkan hanya berbaki saiz kecil dan tidak bernilai tinggi menyebabkan mereka beralih ke kawasan baru walaupun sedar ia adalah kesalahan.

Bagi mereka, sekiranya tindakan membalak di kawasan haram itu tidak dikesan, habuan jutaan ringgit bakal diperoleh, namun jika ia berjaya dihidu, pelbagai alasan untuk ‘melepas tengkuk’ diberikan kepada pihak berkuasa seperti tidak menyedari aktiviti dijalankan di luar kawasan dibenarkan.

Dalam operasi di kawasan berkenaan baru-baru ini yang turut disertai wartawan Harian Metro menemui balak bersaiz besar dan bernilai puluhan ribu dikumpulkan di kawasan pengumpulan sementara menunggu masa untuk diangkut ke kilang menggunakan lori.

Sepanjang operasi itu, lokasi lain yang dikesan ‘diusik’ pembalak haram antaranya Bukit Setiam di Bintulu, Long Banyo di Long Lama Baram, Hulu Kapit dan Hulu Baleh di Kapit.


LOKASI balak yang ditebang di luar kawasan berlesen. FOTO Ekhwan Haque Fazlul Haque

Ketua Unit SADU JHS Dr Affendi Suhaili berkata, berdasarkan risikan dan pemantauan, sindiket balak haram kini semakin terdesak dan sering menukar modus operandi kerana sudah mula ‘panas’ dengan operasi berterusan dijalankan JHS.

Menurutnya, tindakan itu bagi memastikan operasi haram mereka dapat dijalankan walaupun sedar risiko bakal diterima sekiranya ia berjaya dikesan pihak berkuasa yang menjalankan operasi sepanjang tahun.

“Wujud sindiket yang membalak di kawasan tidak jauh dari kilang papan bagi membolehkan pokok yang ditebang terus diproses menjadi kayu dalam masa yang singkat dan tidak disimpan lama, sekali gus memperlihatkan mereka semakin takut dikesan pihak berkuasa.

“Tindakan itu bagaimanapun gagal mengaburi mata pihak berkuasa kerana balak yang ditemui tidak mempunyai cop kebenaran dan nombor siri yang dikeluarkan JHS selain pemilik kilang gagal mengemukakan dokumen kebenaran untuk memproses balak,” katanya.

Dr Affendi berkata, selain daripada itu, pemantauan udara juga mendapati, sindiket turut mengambil kesempatan menggunakan laluan yang dibina dalam projek jalan Baleh ke Kapit bagi membolehkan mereka mengangkut balak.

Katanya, jika sebelum ini, sindiket akan membina laluannya sendiri namun ada ada antara mereka yang kini ‘menumpang’ laluan dibina kontraktor bagi memudahkan mereka mengangkut balak sebelum dipindahkan ke dalam tongkang atau kilang pemprosesan.

“Sindiket ini akan menggunakan apa saja kemudahan yang diperoleh asalkan balak yang ditebang dapat dipindahkan secepat mungkin ke dalam tongkang atau kilang bagi diproses sebelum kegiatan dihidu JHS.

“Dengan pembukaan bagi projek pembinaan jalan oleh kontraktor menyebabkan sindiket mengambil kesempatan menggunakannya kerana lebih mudah dan menjimatkan berbanding perlu membina laluan sendiri bagi mengangkut balak,” katanya.


PENGUAT kuasa Jabatan Hutan Sarawak memeriksa balak yang ditebang di hutan Nanga Lemai, Ulu Balingian, Mukah. FOTO Ekhwan Haque Fazlul Haque

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 January 2018 @ 6:16 AM