IHSAN Noorjahan Sulyan dan Twitter KPM
Mohd Husni Mohd Noor


GURU prasekolah, Noorjahan Sultan dari Sekolah Kebangsaan (SK) Indera Mahkota, Kuantan, Pahang mengharumkan nama Malaysia memenangi Anugerah Pearson ELT Teacher Award bagi kategori Asia dan Oceania bagi tahun 2018.

Kementerian Pendidikan dalam kenyataan, hari ini, berkata, Noorjahan menewaskan 38 finalis dari rantau Asia dan Oceania untuk memenangi kategori berkenaan.

Menurutnya, dia turut meraih undian tertinggi bagi rantau Asia dan Oceania dengan jumlah 6,029 undi awam dalam talian.

“Selain anugerah itu, terdapat empat kategori lain turut dipertandingkan bagi mencari Guru Bahasa Inggeris Terbaik melalui kategori Afrika dan Timur Tengah, Eropah dan Asia Tengah, Utara dan Amerika Tengah serta Amerika Selatan.

“Pemenang bagi lima kategori berkenaan akan ditaja sepenuhnya ke Glasgow, Scotland, bagi menghadiri persidangan The International Association of Teachers of English as a Foreign Language (IATEFL) and Teaching English to Speakers of Other Languages (TESOL) pada 10 hingga 13 April ini,” katanya.

Katanya, Noorjahan 22 tahun bergelar guru dan mempunyai mempunyai formula tersendiri bagi memastikan muridnya meminati Bahasa Inggeris sekali gus meningkatkan kemahiran murid lemah dalam Bahasa Inggeris.

Sebelum ini, Noorjahan pernah dinobatkan sebagai Ikon Guru Kebangsaan 2016 dan pernah menjadi finalis Anugerah Guru Global 2016.

Dia juga adalah pengasas modul Let’s Rhyme yang yang berjaya memenangi pelbagai anugerah di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.

Noorjahan kini bertugas sebagai pegawai di Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri Pahang.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 January 2018 @ 2:39 PM