DATUK Fizz Fairuz atau Mohd Fairuz Zainal Abidin bersama isterinya, Datin Almy Nadia di Istana Abu Bakar, Pekan. FOTO Muhd Asyraf Sawal
Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz & Najiy Jefri
rnorain@hmetro.com.my


“GELARAN ini sebenarnya adalah tanggungjawab besar perlu saya pikul dan saya akan berusaha menjaga amanah ini sebaik-baiknya,” kata pelakon Fizz Fairuz.

Fizz atau nama sebenarnya Mohd Fairuz Zainal Abidin, 39, dianugerahkan Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Datuk, hari ini.

Dia menerima anugerah itu dalam Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran dan Pingat Pahang sempena Memuliakan Ulang Tahun Keputeraan Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah di Istana Abu Bakar, Pekan.

Pelakon drama Kekasih Paksa Rela itu beranggapan anugerah itu sebagai penghargaan tertinggi buat dirinya yang sebelum ini banyak terbabit dalam pelbagai aktiviti pelancongan di Pahang.

“Mungkin ramai tidak tahu saya adalah anak jati Raub dan pada masa sama saya juga banyak buat kerja untuk promosi pelancongan dan budaya negeri ini.

“Selain itu, saya juga menjadi ikon JPJ (Jabatan Pengangkutan Jalan) Pahang dan diharapkan mereka faham mengapa saya diberikan pengiktirafan ini,” katanya.

Beliau yang segak berbaju Melayu biru gelap ditemani isterinya yang juga pelakon Almy Nadia.

Almy juga meminta usah dipersoal gelaran diterima suaminya dan enggan ambil peduli setiap komen dan kritikan terhadap Fizz Fairuz.

“Tidak dinafikan netizen sekarang memang lantang dan gemar mengecam sesuka hati tanpa mengambil kira hati dan perasaan seseorang.

“Namun, saya dan suami memilih untuk tidak ambil pusing dengan setiap kecaman kerana ini rezeki yang datang daripada Allah,” katanya.

Almy berkata, sebagai tulang belakang suaminya, dia melihat setiap usaha dan kerja keras Fizz dalam mengharumkan nama negeri Pahang.

“Penganugerahan ini adalah usaha kerasnya dalam menaikkan dan mengharumkan nama negeri kelahirannya.

“Hanya saya dan orang terdekat dengan suami tahu apakah sumbangan dan usaha yang dilakukannya,” katanya.

Berita berkaitan

Tahniah Datuk Fizz Fairus/a>

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 January 2018 @ 8:03 PM