PEMAIN KLHC, Nicholas James Budgeon (tengah) akan membawa cabaran pasukan hadapi skuad TNB. FOTO Mohd Yusni Ariffin
Saiful Affendy Sapran

Kuala Lumpur: Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) perlu memperoleh tiga mata apabila bertemu Tenaga Nasional Berhad (TNB) pada perlawanan kedua terakhir Liga Perdana, esok jika mahu mempertahankan kejuaraan liga.

Selepas lapan perlawanan, KLHC kini mengumpul 17 mata, hanya ketinggalan satu mata di belakang pendahulu liga, Pasukan Hoki Terengganu (THT) ketika pesaing mereka itu dilihat berdepan lawan lebih mudah bertemu TNB Thunderbolts.

KLHC dan THT akan membuat perhitungan pada perlawanan terakhir liga, Jumaat ini yang dijangka menjadi penentu pasukan manakah bakal bergelar juara liga.

Menganggap perlawanan bertemu TNB cukup penting, penjaga gol berpengalaman negara, Roslan Jamaluddin tidak mahu rakan sepasukan yang lain lari daripada fokus utama untuk meraih kemenangan.

“Bagi saya perlawanan dengan TNB adalah paling penting dalam saingan liga musim ini kerana ia akan menentukan sama ada kami masih berpeluang untuk muncul juara liga atau tidak.

“Jika kami meraih keputusan yang tak bagus, ia pastinya akan menjejaskan fokus pada perlawanan terakhir bertemu THT,” katanya.

Bagaimanapun, untuk menewaskan TNB bukan mudah kerana lawan mereka itu pernah memalukan KLHC apabila mencatat kemenangan 4-2 pada pusingan pertama liga.

“Kami sudah sedar segala kesilapan yang dilakukan ketika itu.

“Banyak faktor mendorong kepada kekalahan itu, antaranya rata-rata pemain kepenatan kerana baru pulang dari Terengganu bertemu THT.

“Kami tidak mahu melakukan kesilapan sama pada perlawanan Rabu ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 January 2018 @ 4:28 AM