SKUAD futsal negara sedia berlepas ke Taiwan di KLIA, semalam. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor.
SKUAD futsal negara sedia berlepas ke Taiwan di KLIA, semalam. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor.
Zulfaizan Mansor

Sepang: Selepas pasukan bola sepak bawah 23 (B-23) tahun meraih pencapaian membanggakan di Kejohanan AFC 2018 apabila mara hingga ke pusingan suku akhir, kini tiba giliran skuad futsal pula menaruh impian besar untuk mencipta sejarah di kejohanan peringkat Asia.

Sepanjang 11 kali tampil dalam Kejohanan Futsal AFC, skuad negara tidak pernah mara hingga ke pusingan kalah mati dalam kejohanan membabitkan negara Asia itu.

Ketua jurulatih skuad futsal kebangsaan, Chiew Chun Yong menjelaskan sasaran utama skuadnya adalah untuk mara sejauh mungkin dalam kejohanan itu sekali gus mencipta sejarah ke pusingan kalah mati buat kali pertama.

“Ya (sudah pasti kami mahu mengikut jejak skuad B-23), prestasi skuad futsal juga sudah semakin meningkat daripada satu kejohanan ke satu kejohanan.

“Saya dan pemain sememangnya mahu meraih keputusan yang positif dalam kejohanan ini dan jika layak ke pusingan kedua, ia adalah pencapaian yang baik.

“Malah, kejohanan ini juga menjadi medan untuk melihat sejauh mana standard skuad futsal kita berbanding pasukan lain,” katanya yang berlepas ke Taiwan, pagi semalam.

Anak buah Chun Yong yang diundi dalam Kumpulan A akan membuka tirai kejohanan berdepan Vietnam, Khamis ini, sebelum menentang tuan rumah, Taiwan pada Sabtu dan Bahrain (Isnin).

Berdasarkan ranking dunia ketika ini, Malaysia yang berada di kedudukan ke-54 menjadi antara pasukan pilihan daripada kumpulan itu untuk merebut dua slot ke pusingan kalah mati selepas Vietnam yang menghuni tangga ke-40.

Sementara itu, Taiwan yang pasti mengharapkan kelebihan mereka sebagai tuan rumah berada di kedudukan ke-82 dan Bahrain (93).

Selain itu, Chun Yong turut mengakui ketiadaan tiga tonggak - Muhammad Awaluddin Hassan, Akmarulnizam Mohd Idris dan Muhammad Azri Rahman yang terpaksa diketepikan kerana kecederaan dan urusan peribadi sedikit merencatkan persiapan pasukannya.

“Memang ia memberi kesan sampingan kepada perancangan dan strategi pasukan, tapi saya sudah mempersiapkan pelan B untuk mengharungi kejohanan ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 January 2018 @ 2:39 AM