SEONG Hee (kiri) dibawa anggota polis di Mahkamah Sesyen Sungai Petani, hari ini. FOTO Omar Osman
Muhaamad Hafis Nawawi
mhafis@hmetro.com.my


BURUH lelaki mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Sungai Petani, hari ini terhadap tuduhan melakukan gangguan seksual ke atas kanak-kanak perempuan, bulan lalu.

Tertuduh Tan Seong Hee, 44, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibaca jurubahasa dalam bahasa Mandarin di hadapan Hakim N Priscilla Hemamalini.

Seong Hee didakwa melakukan amang seksual fizikal bagi maksud seksual dengan menyentuh badan mangsa yang berusia tujuh tahun.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di kawasan tapak ‘fun fair’ bersebelahan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda pada 11 malam 20 Januari lalu.

Justeru, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Pendakwaan diwakili Pegawai Pendakwa Asisten Superintendan Shamsul Singring, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian menetapkan 1 Mac ini untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan perubatan tertuduh yang turut tidak dibenarkan ikat jamin.

Portal Berita Harian Metro pada 22 Januari lalu melaporkan polis menahan seorang lelaki selepas dipercayai melakukan perbuatan terkutuk itu apabila video perbuatan tidak senonohnya tular di media sosial.

Susulan video yang tular, dua laporan polis dibuat seorang pegawai polis dan ibu mangsa sendiri.

Berita berkaitan

Lelaki keji cabul budak disambung reman

Suspek kes cabul direman tujuh hari [METROTV]

Lelaki keji cabul budak 7 tahun diburu

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Februari 2018 @ 12:10 PM