Raja Noraina Raja Rahim


SIASATAN awal polis mendedahkan Juruteknologi Pergigian Mahussin Abd Rahim, 28, dan suspek mempunyai hubungan, sebelum mangsa ditemui meninggal dunia pada 22 Januari lalu.

Ketua Polis Daerah Port Dickson Superintendan Zainudin Ahmad berkata, suspek berusia 19 tahun terbabit mengakui mengenali mangsa melalui aplikasi WeChat tiga hari sebelum mereka bertemu pada 15 Januari lalu.

Katanya, lelaki itu mendakwa dijanjikan pekerjaan oleh mangsa hingga menyebabkan dia datang menaiki bas dari Johor Bahru ke rumah Mahussin.

“Bagaimanapun, suspek mendakwa dikurung oleh mangsa di rumah itu, dan tidak diberi pekerjaan seperti yang dijanjikan.

“Suspek berasa tertipu menyebabkan berlaku pertengkaran lalu dia memukul mangsa dengan menggunakan topi keledar serta alat pemadam api,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson, hari ini.


LAPORAN portal berita Harian Metro, semalam.

Zainudin berkata, suspek kemudian melarikan diri menggunakan motosikal mangsa dan siasatan polis membawa kepada penahanannya di rumahnya di Johor Bahru pada 9 malam kelmarin.

Katanya, polis percaya kes pembunuhan berkenaan selesai dan siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Portal berita Harian Metro semalam melaporkan suspek utama kes pembunuhan Juruteknologi Pergigian di sebuah kuarters di Lukut, Port Dickson direman tujuh hari bermula semalam hingga Selasa depan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Februari 2018 @ 1:54 PM