FATIN Afeefa. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman
FATIN Afeefa. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman
Ramlah Zainal

Lantaran penyebaran foto panas yang dikaitkan dengan dirinya, baru-baru ini, nama pelakon muda Fatin Afeefa mula menjadi perhatian peminat dalam industri hiburan tanah air.

Foto yang mencuri perhatian netizen di laman sosial itu memaparkan seorang wanita yang didakwa Fatin sedang bercium dengan teman lelakinya.

Namun pemilik nama sebenar Fatin Nur Afifah Shamsudin, 24, ini berkata, dia tidak tahu-menahu mengenai penyebaran foto yang dikaitkan dengannya itu.

“Saya terkejut kerana tidak pernah tengok pun gambar itu. Bentuk tubuh wanita itu seperti saya tetapi gambar itu kabur.

“Saya belum gila atau hilang akal untuk memuat naik gambar sedemikian di Instagram. Hujung bulan lalu, akaun Instagram saya tidak boleh diakses dan hanya boleh digunakan semula pada keesokan harinya, tetapi tidak ada pula foto bercium itu,” katanya.

Bagaimanapun, Fatin mengakui dia mengenali dalang yang menyebarkan gambar itu yang cuba menjejaskan nama baiknya.

“Saya tahu siapa yang melakukannya. Biarlah dia buat untuk memuaskan hatinya. Saya tidak akan simpan dendam dan saya maafkan semua perbuatannya itu,” katanya.

Diminta mengulas dakwaan ada pihak mengaitkan perkara itu dilakukan bekas suaminya yang juga pelakon Adam Shahz, Fatin enggan mengulas.

“Saya ada dengar nama bekas suami juga dikaitkan dengan penyebaran foto itu tetapi tidak mahu ambil tahu.

“Kami sudah bercerai secara baik dan kini membawa haluan masing-masing. Begitu juga isu pergaduhan di Twitter. Ada orang cakap saya mengutuk bekas suami dan begitu juga sebaliknya tetapi sebenarnya ia tidak ditujukan kepadanya.

“Saya percaya kami memang menjadi sasaran orang luar kerana sama-sama terbabit dalam bidang seni. Ada orang yang tidak tahu kami sudah bercerai selama tujuh bulan. Hati saya sudah tertutup untuknya dan saya percaya jodoh kami sampai setakat itu saja.

“Kami masih berhubung pun disebabkan anak. Saya juga tidak pernah memburukkan dirinya atau menghalangnya daripada berjumpa dengan anak,” katanya.

Mengenai dakwaan bekas suami yang dikatakan masih mengganggu hidupnya, kata Fatin, dia berharap bekas suaminya sudahpun memulakan hidup baru sekarang.

“Saya hormat dia sebagai bapa kepada anak-anak kami. Semoga dia cepat bertemu jodoh,” katanya.

Mereka berkahwin pada 21 Disember 2013 dan bercerai dengan talak satu pada 30 Mei, tahun lalu.

Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Adam Aisy Arrian,5, dan Ivy Herra Sophia,3.

FATIN Afeefa. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman
FATIN Afeefa. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman

Tidak kejar populariti

Mula berlakon pada usia 8 tahun, Fatin mengakui namanya kurang dikenali berbanding rakan seperjuangannya.

Antara lakonannya sebelum ini ialah drama Tentang Bulan, drama bersiri popular Red Velvet dan Kekasih Paksa Rela yang sedang ditayangkan.

Filem lakonannya pula ialah genre seram berjudul Hospital.

Terbaru, Fatin terbabit dengan watak kecil dalam drama bersiri 80 episod, Monalisa untuk saluran Astro.

Menurut Fatin, dia menceburi bidang seni bukan untuk mengejar populariti.

“Saya akui nama kurang dikenali kerana tidak konsisten dalam lakonan. Saya juga tidak kisah watak kecil atau pembantu kerana yang penting saya ada kerja dan dapat menyara hidup anak-anak,” katanya.

Justeru, kata Fatin, dia terkilan dengan dakwaan mengatakan dirinya mengabaikan anak-anak kerana sibuk bersosial.

“Saya memang bekerja keras untuk membesarkan anak-anak yang masih kecil lagi. Apabila tidak bekerja, saya akan meluangkan masa bersama mereka.

“Memang saya suka keluar dengan kawan-kawan, tetapi untuk urusan kerja dan bukan melepak di kelab dan mengambil minuman keras,” katanya.

Mengenai perancangan masa depan pula, dia ingin melupakan kontroversi yang melanda dan fokus kepada kerjaya seninya.

“Selain berlakon, saya juga merancang untuk muncul dengan single nanti. Saya akan ceburi apa saja cabang seni yang ada untuk menyara hidup bersama anak-anak,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Februari 2018 @ 3:11 AM