Skip this ad x
Raja Noraina Raja Rahim


BAPA kandung dan ibu tiri kanak-kanak perempuan, 9, yang mati didera, semalam direman tujuh hari bagi membantu siasatan bermula hari ini.

Perintah reman terhadap anggota tentera berusia 35 tahun dan isterinya, 34, dikeluarkan Majistret Siti Khairiah Abdul Razak selepas permohonan dibuat pihak polis bagi siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Terdahulu, pasangan itu dilihat tiba di mahkamah pada 9 pagi dengan memakai baju lokap jingga dan tangan bergari diiringi anggota polis.

Mereka ditahan petang semalam selepas bedah siasat ke atas mayat Nur Aina Nabihah mendapati buah pinggangnya rosak, usus koyak dan tulang rusuk patah dipercayai akibat dipukul dengan objek tumpul.

Sebelum itu, mangsa dikatakan tidak sedarkan diri di rumah keluarganya di Lukut, Port Dickson lalu dibawa oleh bapa kandungnya ke Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) Seremban dan disahkan meninggal dunia 12.30 tengah malam.

Pemeriksaan doktor menemui kesan lebam di seluruh badan mangsa menyebabkan mayatnya diserah ke Unit Forensik hospital berkenaan untuk bedah siasat, dan disahkan kematiannya kerana kecederaan organ dalaman.

Berita berkaitan

'Aku boleh mati kena bunuh'

Tergamaknya ayah...

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Februari 2018 @ 11:34 AM
BAPA dan ibu tiri kanak-kanak perempuan yang mati didera direman tujuh hari bagi membantu siasatan, hari ini. FOTO Iqmal Haqim Rosman