ZAHARI mengaku tidak bersalah terhadap sembilan pertuduhan di Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret Ampang, hari ini. FOTO Rosdan Wahid
Murni Wan Omar


PENGASAS sebuah pusat kebajikan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret Ampang, hari ini atas pertuduhan merogol, mencabul dan memiliki bahan lucah iaitu gambar, filem dan zakar lelaki palsu.

Tertuduh Zahari Alwi, 56, didakwa atas dua pertuduhan merogol seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun satu bulan di dalam bilik tidur di dua buah rumah di Taman Keramat dan Taman Seri Keramat pada 1 tengah hari pada 2016 serta waktu petang pada Ogos lalu.

Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.

Zahari juga mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan mencabul dua kanak-kanak perempuan di dua premis berbeza, tiga tahun lalu.

Dia didakwa mengunakan kekerasan jenayah bagi maksud mencabul kehormatan kanak-kanak berusia 10 tahun tiga bulan di ruang tamu sebuah rumah di Taman Seri Keramat pada Disember 2015.

Lelaki itu turut didakwa mencabul kehormatan kanak-kanak sama di ruang tamu sebuah rumah di Taman Keramat pada Disember 2016.

Tertuduh juga didakwa mencabul seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun di ruang tamu sebuah rumah di Taman Seri Keramat pada 2016

Bagi ketiga-tiga perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara 10 tahun atau dengan denda atau sebat, atau mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.

Lelaki itu juga berhadapan dengan pertuduhan memiliki filem bahan lucah di dalam bilik sebuah rumah di Taman Keramat pada 7 malam, 10 Januari lalu.

Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 5(1) Akta Penapisan Filem 2002 yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara lima tahun, jika sabit kesalahan.

Zahari juga didakwa membuat dan memiliki gambar lucah pegun milik kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun tiga bulan yang dirakam di bilik air sebuah rumah di Taman Seri Keramat serta disimpan di dalam komputer ribanya, pada 1 tengah hari, Disember 2015.

Tertuduh turut didakwa memiliki objek lucah iaitu zakar lelaki palsu di dalam bilik sebuah rumah di Taman Keramat, pada 7 malam, 10 Januari lalu.

Bagi kedua-dua perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 292(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun, atau denda, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Selain itu, Zahari juga mengaku tidak bersalah atas pertuduhan hendak mengaibkan kehormatan kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun tiga bulan dengan cara membuka pintu bilik air ketika di berada di dalamnya.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di bilik air sebuah rumah di Taman Seri Keramat pada Disember 2015. Tertuduh didakwa nengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa bukuman penjara maksimum lima tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Tertuduh yang hanya menggeleng-gelengkan kepala ketika pertuduhan dibacakan diwakili peguam Illynadiah Mohd Yusof.

Tiada jaminan ditawarkan berikutan Zahari kini sedang menjalani hukuman penjara di Penjara Sungai Buloh selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur atas kesalahan seksual.

Pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohamed Kamil Nizam, Majistret Mohamad Firdaus Sadina Ali dan Majistret Haslinda A Raof.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Raihanah Abd Razak dan Nadiah Malek Fauzie.

Mahkamah menetapkan 21 Mac ini untuk sebutan semula bagi ketiga-tiga pertuduhan.

Pada 29 Januari lalu, isteri tertuduh Khairulbariah Mian, 30, mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan bersubahat dengan Zahari untuk mencabul dua kanak-kanak perempuan di dua buah premis, tiga tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Februari 2018 @ 4:30 PM