SYAZWAN Zainon. FOTO Osman Adnan
Aziman Rosdi & Rizar Mohd Noor

Kuala Lumpur: Pemain sayap Kedah, Syazwan Zainon percaya mereka mampu mencalar rekod bersih Johor Darul Ta’zim (JDT) di Larkin sekali gus mempertahankan trofi Sultan Ahmad Shah dalam aksi sumbangsih di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam ini.

Stadium Larkin dianggap kubu kuat JDT yang tidak pernah tewas dalam aksi Liga Super sejak 2013.

Biarpun Kedah membawa pulang trofi sama dari Larkin menerusi penentuan sepakan penalti 5-4 tahun lalu, namun perlawanan sumbangsih itu yang turut memberi mata dalam saingan Liga Super hanya mengambil kira keputusan seri 1-1 dalam aksi sebenar.

Dan bagi Syazwan, mereka tidak rela untuk membenarkan trofi itu dirampas semula JDT.

“Kita akan bertemu JDT sekali lagi dan sudah tentu Kedah mahu mempertahankan piala ini. Kali ini pasukan berbeza dengan kedua-dua pasukan menguatkan skuad dengan membawa masuk pemain baru,” kata pemain yang mesra disapa Wan Karpet.

Sementara itu jurulatih baru Kedah, Ramon Marcote masih mahu berahsia dengan kedudukan tiga pemain importnya dan beliau juga enggan mengesahkan sama ada semua ayam tambatan skuad Lang Merah itu akan diturunkan atau tidak, malam ini.

Sebelum ini, Kedah berdepan masalah untuk menurunkan Pablo Pallares, Álvaro Silva dan Sandro Da Silva yang dibelenggu kecederaan dan hanya menjalani latihan ringan.

“Esok (hari ini) baru saya tahu sama ada mereka boleh beraksi atau tidak. Apapun saya berharap mereka boleh diturunkan kerana ia perlawanan penting buat kami dan kehadiran mereka mampu menambah kekuatan Kedah.

“Saya tidak boleh dedahkan siapa yang boleh bermain kerana mahu pastikan semua pemain sedia untuk diturunkan. Tunggu saja esok sama ada pemain itu disenaraikan atau tidak,” katanya pada sidang media di Larkin, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Februari 2018 @ 3:21 AM