GAMBAR yang dimuat naik di Facebook Sultan Ibrahim. FOTO Facebook/Sultan Ibrahim Sultan Iskandar
Junita Mat Rasid


SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Iskandar murka dengan tindakan kumpulan mat rempit yang terus menjadikan Jalan Pantai Lido di hadapan Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru, sebagai medan lumba haram.

Sultan Ibrahim bertitah, baginda menerima banyak aduan khususnya daripada pesakit HSA yang tidak dapat tidur disebabkan bunyi bising enjin motosikal kerana perlumbaan haram yang kerap berlaku terutama pada lewat malam.

Sehubungan itu, baginda mahu polis mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang terbabit dalam aktiviti itu.

“Berhenti daripada terbabit dalam aktiviti tidak berfaedah ini. Fikirkan mengenai ketenteraman awam dan pesakit di hospital yang memerlukan rehat secukupnya,” titah baginda yang dimuat naik dalam Facebook (FB) rasmi Sultan Ibrahim, di Johor Bahru, hari ini.

Baginda bertitah, almarhum anakanda, Tunku Laksamana Johor, Tunku Abdul Jalil Sultan Ibrahim pernah menyebut bahawa dia sukar beradu pada waktu malam ketika menerima rawatan di Wad Diraja HSA disebabkan bunyi kuat motosikal.

Sultan Johor menegaskan, keadaan sama dialami oleh menantu baginda, Che’ Puan Khaleeda Bustamam ketika melahirkan kedua-dua anakandanya.

“Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail dan isteri tidak dapat beradu pada waktu malam disebabkan gangguan bunyi motosikal yang berlumba dari 12 tengah malam sehingga 3 pagi.

“Saya juga mengalami pengalaman yang sama ketika menerima rawatan di Wad Diraja HSA,” titah baginda.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Februari 2018 @ 1:47 PM