AIN Edruce. FOTO Mahzir Mat Isa
Norhayati Nordin
yati@hmetro.com.my

Bakatnya dalam bidang pengacaraan sudah dibuktikan namun untuk dunia lakonan diakui masih terlalu baru.

Malah, peluang ini tidak pernah diduga pengacara dan model tinggi lampai, Ain Edruce, 27.

Menyifatkan ia sebagai rezeki terpijak, Ain berkata, sehingga kini dia sukar mempercayainya.

Apatah lagi, menerusi drama Kekasih Paksa Rela yang bersiaran di slot Akasia TV3 dia bergandingan dengan Remy Ishak.

“Saya memang tak sangka dapat kepercayaan melakonkan watak Rosnaida untuk drama ini.

“Ia sangat mencabar kerana watak Rosnaida penghidup jalan cerita. Saya beranikan diri kerana mahu keluar dari zon selesa,” katanya.

Serasi mengacara, Ain pernah mengendalikan program TV seperti Mad Market, Mbuzz, Girls Only dan Kaki Makan.

Berbicara lanjut mengenai drama Kekasih Paksa Rela, Ain berkata ia kisah masyarakat berkaitan poligami.

“Rosnaida wanita bekerjaya, tegas dan terlalu berdikari.

“Hinggakan, akhirnya dia ego dan lupa tanggungjawab sebagai isteri yang sepatutnya mengutamakan keluarga.

“Lebih memburukkan keadaan, perkahwinan Rosnaida dan Adham (lakonan Remy) tidak mendapat restu bapa mentua,” katanya.

Menurut Ain, disebabkan terlalu kecewa dengan perkahwinan dibina Rosnida menyambung pelajaran di luar negara.

Sebagai pelakon, Ain terbuka menerima apa sahaja kritikan peminat terhadap persembahannya.

“Saya sedia terima kritikan penonton sama ada positif atau sebaliknya. Bagi saya, ini pengalaman baru.

“Apatah lagi, bukan mudah untuk saya bentuk keserasian dengan Remy. Saya bimbang jika tidak mampu mempersembahkan lakonan mantap dan berkesan,” katanya.

Ain berkata, Remy pelakon yang bagus dan berkaliber, begitu juga bintang baru Intan Najuwa.

“Sebenarnya, apa yang saya risaukan ialah kemunculan Rosnaida akan merosakkan ‘mood’ penonton.

“Ini kerana, kebanyakan mereka suka gandingan Adham dan Hanan Khaira lakonan Intan Najuwa.

“Tiba-tiba saja Rosnaida muncul semula dan mahu merebut haknya. Sudah tentu peminat Hanan Khaira akan geram,” katanya.


AIN Edruce. FOTO Mahzir Mat Isa

Mengakui banyak mendapat bantuan dan tunjuk ajar daripada Remy, Ain sudah berusaha melakukan yang terbaik sepanjang penggambaran drama itu.

“Kalau nak tahu kesudahan cinta tiga segi di antara Adham, Rosnaida dan Hanan Khaira, teruslah menonton drama Kekasih Paksa Rela,” katanya.

Drama 28 episod itu diarahkan Idora Abdul Rahman dan skrip ditulis Nieza Nahar.

Selain Ain, Remy dan Intan Najuwa, drama ini turut dibintangi Datuk Jalaludin Hassan, Afzan A Rahman, Dayang Areeda dan Emelda Rosemila.

Tiada masa untuk bercinta

Memiliki pakej lengkap cantik dan bergaya, sukar untuk mempercayai Ain tiada teman lelaki.

Pernah kecewa bercinta, gadis kelahiran Terengganu ini memberitahu dia tidak serik ataupun trauma.

“Cuma, sibuk bekerja buat saya belum ada masa untuk bercinta.

“Setakat berkawan memang ada tetapi bercinta rasanya belum masanya lagi.

“Selain mengacara dan berlakon, saya aktif sebagai model iklan. Jadi, jadual kerja saya memang padat,” katanya.

Lulusan ijazah Muzik dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam ini berkata perjalanan karier seninya baru sahaja bermula.

Justeru itu, banyak perlu dilakukan untuk terus memahat nama dan kekal bertahan dalam kerjaya ini.

“Kerjaya saya belum stabil. Kenalah fokus dan giatkan usaha,” katanya.

Enggan terpalit gosip dan cerita sensasi, Ain berkata dia akan lebih berhati-hati dalam setiap gerak geri.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Februari 2018 @ 3:18 AM