PUTRI Aine menatap foto Nur Aina ketika ditemui di rumahnya di Bandar Springhill, Port Dickson, hari ini. FOTO Mohd Khidir Zakaria
Mohd Khidir Zakaria


“SETIAP hari bersekolah, Aina akan menemani saya ke mana saja, malah kami saling membantu dalam pelajaran. Apabila dia sudah tiada, hidup saya terasa kosong."

Begitu kata Putri Aine Sofhylea Mohd Shahjehan, 9, rakan sekelas kepada Allahyarham Nur Aina Nabihah Muhammad Abdullah yang meninggal dunia pada Khamis lalu akibat didera di Taman Vista Jaya, Lukut, Port Dickson.

Putri Aine berkata, dia yang datang ke Sekolah Kebangsaan (SK) Lukut, di sini, Jumaat lalu diberitahu guru, rakan baiknya sudah meninggal dunia.

"Saya sedih, sebak dan hanya mampu menangis. Sepanjang tiga tahun kami sekelas, dia adalah kawan baik dan duduk bersebelahan," katanya ditemui di rumahnya di Bandar Springhill, hari ini.

Menurutnya, dia tidak dapat memberi tumpuan ketika guru mengajar berikutan teringat pada Nur Aina dan hanya memandang tempat duduknya.

"Kali terakhir saya bertemu arwah adalah Isnin minggu lalu dan selepas itu dia tidak datang ke sekolah. Ketika waktu rehat itu, arwah seperti mahu mengadu sesuatu namun perkataan itu tidak terucap," katanya.

Katanya, Nur Aina juga kerap memegang tangannya, namun dia hanya mendiamkan diri apabila ditanya.

"Saya memandang wajah Nur Aina dan dia kelihatan begitu takut. Sebelum pulang dari sekolah, dia memeluk erat saya dan menangis sekuat hati," katanya mengalirkan air mata.

Katanya, dia tidak menyangka rakan baiknya meninggal dunia dalam keadaan menyedihkan apabila didera bapanya.

"Biarpun kami tinggal di kawasan berdekatan, namun selepas waktu sekolah kami tidak pernah bertemu untuk beriadah. Nur Aina ada beritahu dia tidak boleh keluar kerana perlu berada di rumah," katanya.

Menurut Putri Aine, arwah seorang anak yang baik kerana tidak bercerita buruk mengenai keluarganya, malah dia hanya memberitahu terjatuh apabila ditanya kesan lebam pada mukanya.

"Saya kehilangan kawan sangat baik, malah semua rakan sekelas sedih. Kalau boleh saya tak mahu ada murid lain duduk di sebelah saya kerana meja dan kerusi ini milik Nur Aina," katanya.

Sementara itu, ibu Putri Aine iaitu Fazidah Mat Saad, 42, berkata selepas kematian Nur Aina, anaknya setiap hari menangis termasuk waktu malam berikutan terlalu merindui sahabatnya itu.

Berita berkaitan

'Aina takut dengan bapanya'

Tergamaknya ayah...

[UPDATE] Anggota tentera, isteri direman [METROTV]

Ya Allah, besarnya penderitaan Nur Aina... [METROTV]

'Aku boleh mati kena bunuh'

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Februari 2018 @ 1:34 PM