GAMBAR hiasan
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


ANGKARA cemburu buta, seorang lelaki warga Yaman tanpa belas kasihan membelasah isterinya dengan menumbuk serta memukulnya berkali-kali di kediaman mereka di Jalan Imbi, Kuala Lumpur, Isnin lalu.

Dalam kejadian pada 5.30 petang, berlaku persilihan faham di antara suspek berusia 38 tahun dengan isterinya akibat salah faham.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Shaharudin Abdullah berkata, pada mulanya suspek bertanya kepada isterinya berusia 27 tahun yang juga warga Yaman mengapa berjumpa dengan rakan lelaki.

"Isteri suspek kemudian memberitahu pertemuan itu hanya sekadar kebetulan, namun ia tidak dipercayai dan menyebabkan suspek berasa marah.

"Suspek terus mengamuk dan membelasah mangsa dengan menumbuknya berkali-kali selain menampar serta memukul anak lelaki mangsa berusia lima tahun," katanya.

Katanya, lelaki terbabit kemudian menghalau mangsa dan anaknya keluar dari rumah selepas kejadian.

"Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan lebam mata kanan, bengkak di jari serta sakit di seluruh badan sebelum dia membuat laporan polis.

"Suspek berjaya ditahan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di kediamannya pada keesokkan harinya," katanya.

Katanya, lelaki itu direman selama tujuh hari sehingga esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 323 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan, serta Seksyen 15(1) (c) Akta Imigresen 1959/63.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Februari 2018 @ 5:12 PM