Fairul Asmaini Mohd Pilus


LAMAN web Harian Metro (HM) menerajui carta pilihan portal berita di Malaysia untuk 2017 menerusi kategori berita dan maklumat.

Menurut statistik terbaru dikeluarkan firma pengukur dunia digital, ComScore Inc, laman web rasmi HM, www.hmetro.com.my merekodkan 48.1 juta pelayar unik (UV) sepanjang tahun lalu merangkumi pelayar yang mengunjungi laman web menggunakan komputer, telefon pintar atau tablet.

Untuk suku keempat, Oktober hingga Disember, HM turut unggul di tempat pertama dengan mencatatkan seramai 12.9 juta pelayar unik.

Pada suku ketiga tahun lalu, laman web HM mencatatkan seramai 13.1 juta pelayar unik (UV) sepanjang tiga bulan antara Julai hingga September, menerajui carta pertama.

Jumlah itu meningkat berbanding 12.2 juta UV yang dicatatkan pada suku kedua tahun 2017.

Untuk suku pertama pula, HM mencatatkan seramai 10.1 juta UV.

Selain itu, bagi bagi segmen video HM, MetroTV yang kini mempunyai lebih 126,381 pengikut di YouTube mencatat lebih 43.7 juta tontonan setakat ini.

Untuk laman sosial, peminat Facebook (FB) myMetro kini mencatatkan lebih 4.672 juta ‘likes’ manakala Twitter rasmi HM kini diikuti lebih 806,000 pengikut.

Sementara itu, sepanjang tahun 2017, laman web Berita Harian, www.bharian.com.my merekodkan seramai 41.06 juta UV; The Star (www.thestar.com.my) 38.4 juta UV; Sinar Harian (www.sinarharian.com.my) 36.9 juta UV dan Malaysiakini (www.malaysiakini.com), 33.07 juta UV.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Februari 2018 @ 10:03 PM