Reaksi ibu (tengah) dan abang kepada mangsa dera, Nur Aina Nabihah Muhammad Abdullah sebak ketika menuntut jenazah mangsa di Unit Forensik Hospital Tuanku Ja'afar Seremban (HTJS) untuk dibawa ke Ipoh, Perak untuk dikebumikan. FOTO Adzlan Sidek
Mohd Khidir Zakaria


ABANG kandung mangsa dera yang meninggal dunia, Nur Aina Nabihah Muhammad Abdullah, 9, yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan Lukut (SKL), Port Dickson, akan bertukar sekolah ke Kuantan.

Ibu kandung kanak-kanak berusia 11 tahun itu, bersama seorang lelaki, dilihat hadir ke SKL di sini, semalam, dipercayai untuk menguruskan proses pertukaran sekolah anaknya itu yang sebelum ini berada di bawah jagaan bekas suaminya.

Dia yang kelihatan masih sedih dengan kejadian menimpa anaknya, bagaimanapun enggan bertemu media yang mahu bertanya lebih lanjut mengenai kehadirannya di sekolah berkenaan.

Bagaimanapun, sumber memberitahu wartawan NSTP, mereka sampai ke SKL pada 12.30 tengahari dan selesai bertemu guru serta kakitangan sekolah kira-kira sejam kemudian.

"Kanak-kanak Tahun Lima itu sempat bertemu rakan sekelasnya untuk mengucapkan selamat tinggal. Dia kemudian beredar bersama ibu kandung dan seorang lelaki menaiki kereta berwarna putih," katanya di sini, hari ini.

Akhbar sebelum ini melaporkan, Nur Aina Nabihah meninggal dunia 31 Januari lalu, akibat didera dan keputusan bedah siasat mendapati kanak-kanak terbabit cedera pada buah pinggang, selain usus terkoyak serta patah tulang rusuk, dipercayai dipukul dengan objek tumpul.

Berikutan itu, suspek utama kes itu iaitu bapa kandungnya yang berusia 35 tahun dan ibu tiri berusia 34 ditahan reman tujuh hari sehingga esok untuk membantu siasatan polis.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Februari 2018 @ 4:58 PM