FARAH minta berurusan dengan pembantu peribadi bukan sebab sombong.
FARAH minta berurusan dengan pembantu peribadi bukan sebab sombong.
HM Digital

Pelakon Farah Nabilah menganggap gosip mengatakan dia ‘demand’ dalam meletakkan harga lakonan adalah tidak masuk akal.

Farah yang popular menerusi drama Titian Cinta berkata, segala urusan membabitkan kerjaya dan harga lakonan diserahkan kepada pengurusnya.

“Bagi saya, ini perkara biasa dan sering terjadi kepada artis yang dijaga pengurus. Sedangkan yang berurusan dan buat perbincangan mengenai harga adalah pengurus.

“Jujur tiada istilah ‘demand’ namun, mungkin ada kenaikan harga sekitar RM100 atau RM200 daripada harga lama. Tetapi, semuanya boleh dibincangkan.

“Saya pelik apabila isu ‘demand’ ini timbul sejak saya berlakon dalam drama Titian Cinta. Mengapa sebelum ini tidak dibangkitkan?” katanya.

Ditanya mengenai dakwaan sombong apabila meminta berurusan dengan pengurus peribadinya seandainya ada yang memberikan tawaran kerja, Farah menegaskan itu cara terbaik.

“Saya juga ada terdengar mengenai dakwaan mengatakan saya sombong apabila menyuruh pihak yang mahu memberikan tawaran kerja berurusan dengan pembantu peribadi.

“Tujuan berkata demikian kerana saya sendiri tidak ingat jadual kerja yang semuanya diuruskan pihak pengurusan. Jadi, lebih mudah untuk berurusan dengan pembantu peribadi. Tapi saya anggap itu semua lumrah apabila bergelar selebriti. Biasalah, asam garam bergelar anak seni,” katanya.

Masih baru dalam bidang seni, graduan Universiti Upper Iowa Malaysia (UIU) dalam bidang psikologi ini memberitahu, populariti diraih digunakan sebaik mungkin untuk tampil dengan pelbagai produk atau drama.

Malah, bagi mempelbagaikan lakonan, Farah ingin mencuba watak antagonis, sesuatu yang berbeza dengan lakonannya sebelum ini.

“Agak sukar untuk kita mengagak sejauh mana populariti seseorang artis itu dapat bertahan. Bagi saya, sementara dikenali, saya akan cuba memberi yang terbaik untuk mengekalkan momentum dengan memperbaiki diri.

“Selebihnya, biarlah laluan kerjaya seni mengikut arusnya sendiri. Saya ada matlamat sendiri, meraih sebuah trofi kerana bakat lakonan.

“Perjalanan saya masih jauh dan mahu terus berusaha untuk ke arah itu,” katanya.

Farah berkata, tahun ini, dia mahu mencorakkan karier seninya dengan pelbagai watak yang mencabar.

“Sejak tiga tahun lalu, kebanyakan watak yang diterima adalah gadis baik-baik dan dianiaya. Teringin juga menggalas watak antagonis,” katanya.

Farah juga mahu mengembangkan bakat dalam bidang lain seperti pengacaraan termasuk program masakan. Ini kerana dia suka memasak apabila mempunyai masa lapang di rumah.

“Andai kerjaya lakonan perlahan, saya teringin mengacara program masakan. Jika dapat melakukan dua bidang ini serentak pun apa salahnya? Saya terbuka apa saja tawaran yang datang,” katanya. -Najiy Jefri

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Februari 2018 @ 3:02 AM