TUAH terus menyebelahi Anim apabila diberi kepercayaan kendali musim baru 999.
Ramlah Zainal
ramlah@hmetro.com.my


Bersandarkan minat mendalam, Anim Ezati nekad meninggalkan kerjaya dengan sebuah syarikat penerbangan untuk menceburi bidang penyiaran yang diimpikan sejak dulu.

Menurut bekas pramugari AirAsia ini, tuah menyebelahinya selepas berjaya dalam sesi uji bakat yang berlangsung di Sri Pentas sebelum ini.

“Sebenarnya, ketika masih bertugas sebagai pramugari lagi saya sudah tiga kali menghadiri uji bakat termasuk untuk menjadi pelakon tetapi tidak berjaya.

“Dalam tempoh empat tahun bertugas sebagai pramugari, saya sudah terfikir jika dapat kerja dalam bidang penyiaran, saya akan berhenti kerja.

“Kali pertama menghadiri uji bakat sebagai pengacara, rezeki berpihak kepada saya,” katanya.

Pemilik nama sebenar Anim Ezati Rizki, 25, ini berkata, selepas berjaya dalam sesi uji bakat itu dia juga ditawarkan mengikat kontrak dengan Talent Unit, Media Prima selama setahun.

“Tugas pertama saya ialah sebagai hos Pitch Side Football untuk Liga Malaysia yang bersiaran di TV9.

“Saya masih bertugas dengan AirAsia lagi ketika itu. Selepas ditawarkan buat program Malaysia Hari Ini (MHI) di TV3, barulah

saya berhenti pada April 2017,” katanya.

Pemegang Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Sumber Manusia, Universiti Teknologi MARA ini juga berdepan cabaran besar ketika mengendalikan segmen MHI yang bersiaran secara langsung.

“Memandangkan tiada pengalaman dalam bidang penyiaran, saya kena mula dari bawah untuk memberikan yang terbaik,” katanya.

Tuah terus menyebelahi Anim apabila dia diberi kepercayaan mengendalikan musim baru 999 tahun ini.

“Pada mulanya, saya menjadi pembantu hos untuk segmen viral dalam program 999. Kemudian dipilih muncul sebagai hos pula.

“Apabila minat, semua perkara kita akan lakukan dengan bersungguh-sungguh,” katanya.

Sedia terima kritikan

Sebagai pengacara baru, Anim mengakui penghargaan terbesar buatnya untuk mengendalikan program 999 yang sudah 17 tahun bersiaran di TV3.

Sebelum ini, program 999 dikendalikan Zakiah Anas, Hazlin Hussain dan Sarah Adiba Yussof.

Anim juga bersedia dibandingkan dengan barisan hos sebelum ini.

“Saya melihat setiap kritikan secara positif. Ia perkara biasa yang pasti dilalui hos baru.

“Saya menjadikan Kak Zakiah dan Hazlin rujukan terbaik ketika mengendalikan program ini,” katanya.

Bekas pemenang Anugerah Bintang Olay 2017 ini berkata, dia juga akan mengendalikan program 999 mengikut caranya sendiri.

“Cabaran sebenar ialah penonton sudah meletakkan penanda aras yang tinggi terhadap hos terdahulu.

“Sebagai hos baru, saya juga sudah memberikan yang terbaik mengikut kemampuan diri dan selebihnya serahkan pada penilaian penonton.

“Bukan saja hos baru, banyak perubahan dalam program ini iaitu dari setengah jam kepada sejam bersiaran,” katanya.

Ditanya kekuatan program 999, kata Anim, ia membabitkan segmen gempur apabila dia terbabit sebagai wartawan penyiaran di lokasi sebenar kes jenayah.

“Sebelum bersiaran,saya juga sudah membuat persiapan lengkap membabitkan aspek perancangan setiap agensi penguatkuasaan.

“Apa yang penting, saya juga menimba pengalaman sebenar di lokasi jenayah dan ia sangat berharga.

“Saya juga menaruh harapan semoga program 999 tahun ini agar terus diminati dan menjadi pilihan utama penonton,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Februari 2018 @ 3:14 AM